Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dera anak 4 tahun hingga maut: Ibu dijel 19 tahun; teman lelaki dijel 30 tahun, 17 sebatan

Apr 3, 2025 | 6:29 PM
Megan Khung maut selepas teman lelaki ibunya Foo Li Ping, Wong Shi Xiang, menumbuk perutnya.
Megan Khung maut selepas teman lelaki ibunya Foo Li Ping, Wong Shi Xiang, menumbuk perutnya. - Foto INSTAGRAM CCXXCXCX, PEMBACA SHIN MIN

Ibu kepada Megan Khung, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang didera dan dimalukan selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia pada 2020, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun pada 3 April.

Foo Li Ping, 29 tahun, telah mengaku bersalah pada 28 Februari atas satu pertuduhan mendera anaknya, satu pertuduhan membenarkan kematian kanak-kanak itu dan satu pertuduhan membuang mayat dengan sengaja untuk menghalang siasatan.

Satu lagi tuduhan mendera kanak-kanak diambil dalam pertimbangan.

Menurut The Straits Times, teman lelaki Foo ketika itu, Wong Shi Xiang, 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 17 sebatan rotan.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan membunuh Megan, satu pertuduhan melupuskan mayat dengan sengaja, satu pertuduhan mengedar dadah dan satu pertuduhan mengambil dadah.

Lagi 11 pertuduhan, kebanyakannya kesalahan berkaitan dadah, dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Foo dan Wong telah merotan dan menampar Megan, tidak memberikannya makanan dan pakaian serta menyuruhnya tidur di balkoni unit kondominium yang disewa di Paya Lebar.

Megan juga dipaksa memakai lampin kotor di atas kepalanya, dipaksa makan makanan dari tong sampah dan dipaksa memakan lendir ibunya.

Penderaan fizikal dan emosi itu memuncak dengan kematian Megan selepas Wong menumbuk perutnya pada 21 Februari 2020.

Pasangan itu membakar mayat Megan dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020.

Abu Megan tidak pernah ditemui.

Ibu bapa Megan telah berkahwin pada 2015, tahun dia dilahirkan. Hubungan mereka putus kemudiannya.

Antara akhir Februari dengan awal Mac 2019, pasangan itu mula merotan Megan, yang ketika itu berusia tiga tahun.

Penderaan meningkat apabila Megan mula tinggal bersama mereka.

Pada 20 Julai 2020, bapa Megan, Encik Khung Wei Nan, peniaga berusia 37 tahun, membuat laporan polis kerana bimbang tentang keberadaan dan keselamatan anaknya itu.

Susulan laporan polis, Foo, Wong dan Chua telah ditahan pada 24 Julai 2020.

Pada 3 April, sebelum menjatuhkan hukuman kepada Foo dan Wong, Hakim Mahkamah Tinggi Hoo Sheau Peng menceritakan semula fakta untuk menekankan “kelakuan keji, menyedihkan dan ganas” pasangan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg