Penyedia perkhidmatan pengangkutan Malaysia, Kummute, telah mula menawarkan tempahan dalam talian untuk teksi berlesen dari Malaysia ke Singapura melalui aplikasinya.
Namun, Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) berkata ia tidak memberi kelulusan kepada mana-mana platform e-hailing atau e-panggilan untuk menyediakan perkhidmatan merentas sempadan.
Firma e-panggilan tersebut melancarkan perkhidmatan itu – yang dikenali sebagai CB Taxi – sebagai pilihan dalam aplikasinya pada 30 September, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Kummute, pilihan ini membolehkan para pelancong menempah teksi merentas sempadan yang berlesen dari mana-mana lokasi di Semenanjung Malaysia, menuju ke Terminal Ban San Street di Singapura.
LTA berkata pada 10 Oktober bahawa ia belum memberi kelulusan kepada mana-mana platform e-panggilan untuk menyediakan perkhidmatan rentas sempadan.
“Kami sedang bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (Apad) untuk menjelaskan model perniagaan platform e-panggilan Kummute,” kata jurucakap LTA.
LTA berkata pendekatannya adalah untuk memudahkan penumpang dengan membenarkan teksi berlesen menyediakan perjalanan merentas sempadan melalui platform yang diluluskan, sambil memastikan pemantauan peraturan.
“Perkhidmatan teksi merentas sempadan adalah berdasarkan perjanjian timbal balik, sebarang cadangan akan perlu dikaji dengan teliti dan dipersetujui bersama rakan sejawat kami di Malaysia,” tambah jurucakap tersebut.
Pemeriksaan oleh ST di laman web Apad menunjukkan bahawa Kummute tersenarai sebagai salah satu daripada 32 penyedia perkhidmatan e-panggilan yang dibenarkan untuk perjalanan dalam Malaysia.
Pada masa ini, pelancong di Singapura boleh membuat tempahan dalam talian untuk teksi merentas sempadan berlesen ke Larkin di Johor Bahru melalui pengendali ComfortDelGro (CDG) dan Strides Premier.
Perjalanan teksi merentas Tambak boleh ditempah melalui talian hotline CDG dan di laman web Strides Premier, dengan tambang tetap yang berharga antara $60 hingga $120.
Strides Premier juga menawarkan tambang tetap RM120 ($37) untuk perjalanan dari Larkin ke Ban San Street.
Untuk perkhidmatan CB Taxi merentas sempadan, pengguna boleh menempah perjalanan 30 minit lebih awal, dengan tambang berasaskan jarak yang dipaparkan lebih awal di aplikasi Kummute.
Pengguna dengan nombor telefon Singapura yang disahkan juga boleh daftar untuk akaun di aplikasi tersebut.
Kummute telah meletakkan dirinya sebagai syarikat pertama yang menyediakan tempahan dalam talian untuk perjalanan pengangkutan merentas sempadan yang sah dari Malaysia.
“Kami bekerjasama dengan pengendali teksi merentas sempadan yang berlesen dan sudah memegang permit yang sah, justeru, peranan kami hanya untuk memudahkan tempahan melalui aplikasi,” kata ketua perniagaan Kummute, Encik Kenny Hew.
Beliau berkata bahawa pada masa ini terdapat sekitar 120 pemandu teksi merentas sempadan yang berlesen yang telah mendaftar di aplikasi tersebut.
Pemeriksaan pada 10 Oktober menunjukkan bahawa tambang dari pusat membeli-belah popular di Johor, seperti Paradigm Mall atau Aeon Tebrau City, berharga sekitar RM220, termasuk bayaran tempahan RM25.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg