Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 kenderaan disita sejak Jul tawar khidmat kereta sewa haram

Oct 3, 2025 | 4:36 PM
e-hailing, impounded
Pihak berkuasa di Singapura telah mengetatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan perkhidmatan kereta sewa haram, termasuk mereka yang menawarkan perkhidmatan tersebut di Singapura serta merentas sempadan Singapura-Malaysia. - Foto FACEBOOK SUN XUELING

Sebanyak 102 kenderaan telah disita sejak Julai dengan pihak berkuasa terus mengetatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan perkhidmatan e-hailing (kenderaan sewa persendirian) secara haram.

Jumlah tersebut termasuk 10 kenderaan yang disita pihak berkuasa pada 2 Oktober, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, dalam satu hantaran Facebook pada 3 Oktober.

Menurut beliau, kenderaan berkenaan digunakan untuk menawarkan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan dan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) secara haram.

Beliau menambah, pemandu telah ditahan dalam operasi penguatkuasaan di merata negara.

Kenderaan tersebut tidak mempunyai lesen dan perlindungan insurans yang diperlukan untuk membawa penumpang awam, kata Cik Sun.

Pihak berkuasa di Singapura telah mengetatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan e-hailing haram, termasuk mereka yang menawarkan perkhidmatan tersebut di Singapura serta merentas sempadan ke Malaysia, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Seramai 136 pemandu ditangkap kerana kegiatan sedemikian sejak 2022, lapor ST sebelum ini pada Ogos, memetik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Dalam satu hantaran di Facebook pada 30 September, LTA menyatakan lapan pemandu ditangkap dalam tempoh seminggu kerana menyediakan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan secara haram dan kenderaan mereka telah disita.

Untuk menawarkan perkhidmatan teksi atau kereta sewa persendirian di sini, semua pemandu mesti memegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam.

Teksi berdaftar di Malaysia juga mesti mempunyai Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean.

Kededua lesen itu dikeluarkan LTA.

Dalam hantarannya, Cik Sun turut menyatakan bahawa pengendali teksi ComfortDelGro (CDG) dan Strides Premier masing-masing telah melancarkan sistem tempahan untuk perkhidmatan pengangkutan ke Malaysia.

CDG mengumumkan pada 18 September bahawa tempahan untuk perjalanan rentas sempadan ke Johor Bahru dari mana-mana lokasi di Singapura boleh dibuat melalui talian hotline mereka mulai 25 September.

CDG berkata 90 pemandu teksi mereka yang memiliki lesen teksi rentas sempadan yang sah, sedia menawarkan perkhidmatan tersebut.

Selain itu, Strides Premier, yang dimiliki oleh pengendali pengangkutan SMRT, berkata pada 19 September bahawa ia menawarkan perkhidmatan teksi rentas sempadan, dengan tempahan boleh dibuat melalui borang dalam talian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg