Topik diikuti
Pergi ke BHkuMSS: Jerebu mungkin landa S’pura dalam 2 minggu, cuaca kering di rantau dijangka berterusan
Singapura mungkin mengalami keadaan berjerebu dalam tempoh dua minggu akan datang, sedang cuaca kering dijangka berterusan di rantau ini sekitar sepanjang separuh pertama September.
Ini meskipun hujan sekali-sekala diramalkan pada minggu kedua.
Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam tinjauan cuaca pada 1 September, jerebu mungkin berlaku sekiranya kebakaran di kawasan titik panas di rantau ini bertambah buruk dan tiupan angin lazim dari tenggara atau barat daya berterusan.
MSS menambah, keadaan kering yang berterusan telah menyebabkan peningkatan dalam jumlah titik panas dan keadaan jerebu asap di rantau sekitar.
Jerebu asap tebal turut dikesan di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta beberapa kawasan di Kalimantan pada kebanyakan hari sejak sekitar 21 Ogos.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan kemas kini sekiranya terdapat perubahan, kata MSS.
NEA akan mengeluarkan nasihat jerebu harian sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam memasuki julat tidak sihat, iaitu antara 101 dengan 200.
Menurut MSS, keadaan cuaca cerah dan kadangkala berangin dijangka berlaku pada kebanyakan hari, khususnya sepanjang minggu pertama September.
Hujan berserta guruh untuk tempoh singkat mungkin berlaku di beberapa kawasan Singapura pada lewat pagi dan petang pada beberapa hari.
Jumlah hujan bagi separuh pertama September diramalkan berada di bawah paras purata di kebanyakan kawasan di Singapura.
Suhu maksimum harian pula dijangka antara 33 dengan 35 darjah Celsius pada kebanyakan hari, dengan suhu mungkin meningkat sedikit melebihi 35 darjah Celsius pada beberapa hari.
Keadaan pada waktu malam juga mungkin kekal panas dan lembap, dengan suhu minimum melebihi 27 darjah Celsius pada kebanyakan malam, menurut MSS.
