Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang memantau mutu udara di Singapura, setelah Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di bahagian tengah Singapura hampir mencecah kadar kurang sihat.

Pada 1 petang, kadar PSI berada di antara 68 dengan 90, iaitu julat yang sederhana.

Namun, perangkaan PSI 90 tertinggi dikesan di bahagian tengah Singapura.

Ia meningkat kepada julat antara 68 dengan 91 pada 2 petang.

Pada 3 petang, kadar PSI meningkat kepada julat antara 69 dengan 92 pada 3 petang.

Setakat 6 petang, kadar PSI di kawasan tengah Singapura mencecah 94.

Mutu udara dikira kurang sihat jika kadar PSI mencecah perangkaan antara 101 dengan 200.

Dalam satu hantaran Facebook pada 24 Ogos, NEA memaklumkan bahawa ia terus memantau peningkatan dalam titik panas dan jerebu pada hujung minggu lalu.

Titik panas serta kepulan asap tebal dikesan sebahagian besarnya di daerah Kalimantan dan selatan Sumatera di Indonesia.

Kepulan asap turut dikesan di Riau, kata NEA, sambil menambah bahawa keadaan cuaca kering dijangka berterusan sepanjang minggu ini.

“Dengan tiupan angin dari arah selatan atau tenggara, Singapura berkemungkinan mengalami jerebu sekali-sekala,” kata NEA.

Grafik Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan kedudukan titik panas di Sumatera, Riau dan Kalimantan, serta tiupan angin dari arah selatan dan tenggara yang berisiko membawa jerebu ke Singapura.
Grafik Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan kedudukan titik panas di Sumatera, Riau dan Kalimantan, serta tiupan angin dari arah selatan dan tenggara yang berisiko membawa jerebu ke Singapura. - Foto FACEBOOK NEA

Agensi itu berkata ia sedang memantau dengan teliti mutu udara secara keseluruhannya, dan akan memberi nasihat yang perlu jika keadaan bertambah buruk.

Pada 3 petang, bacaan paras PM2.5 bagi tempoh sejam – iaitu purata konsentrasi PM2.5 dalam udara yang diukur sepanjang satu jam yang lalu – berada pada julat antara 37ug/m³ (mikrogram/meter padu) dengan 59ug/m³, iaitu dalam julat biasa dan tahap meningkat.

Bacaan PM2.5 mengukur konsentrasi partikel pencemar udara halus yang berdiameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil, iaitu sekitar 30 kali lebih kecil daripada sehelai rambut manusia, dalam mikrogram setiap meter padu.

Perangkaan dianggap tinggi jika ia berada antara julat 151ug/m³ dengan 250 ug/m³.

NEA menasihatkan orang ramai agar memeriksa laman webnya, laman jerebu serta aplikasi myENV untuk mendapatkan maklumat masa nyata mengenai mutu udara.

Orang ramai turut digesa merujuk kepada paras PM2.5 setiap satu jam serta panduan ketika merancang kegiatan di luar.

Menurut laporan The Straits Times, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, telah mengarahkan tindak balas pantas untuk mengawal kebakaran yang merebak di Kalimantan pada 22 Ogos.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Alam Indonesia, kebakaran tersebut telah menjejas sekitar 38,310 hektar tanah di bahagian barat Kalimantan; 7,634 hektar di bahagian tengah Kalimantan; dan 8,620 hektar lagi tanah di bahagian selatan Kalimantan.

Di Malaysia, kes semput melonjak 259 peratus pada minggu epidemiologi terkini, manakala jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) meningkat sebanyak 124 peratus.

Beberapa sekolah di Sarawak turut diarah tutup minggu lalu berikutan ancaman jerebu.