Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MTI: Syarikat farmaseutikal di S’pura nanti pengesahan pengecualian tarif AS

Oct 14, 2025 | 7:20 PM
Gan Siow Huang, tarif, farmaseutikal
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang. - Foto MDDI

Beberapa syarikat farmaseutikal sedang menunggu pengesahan daripada pentadbiran Amerika Syarikat sama ada rancangan peluasan mereka melayakkan mereka untuk pengecualian tarif, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.

Bercakap di Parlimen pada 14 Oktober, Cik Gan berkata pelaksanaan tarif, yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Oktober, telah ditangguhkan untuk memberi masa kepada syarikat farmaseutikal untuk merundingkan pengecualian dengan pentadbiran Amerika.

“Kami telah melibatkan syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Singapura untuk berunding mengenai kesan tarif oleh Amerika.

“Banyak syarikat ini sudah mempunyai rancangan untuk membina kapasiti baru atau memperluas kemudahan sedia ada mereka di Amerika.

“Mereka sedang menunggu butiran lanjut daripada pentadbiran Amerika untuk mengesahkan rancangan mereka layak mendapat pengecualian tarif,” kata Cik Gan, sambil menyatakan tidak jelas sama ada syarikat tersebut masih akan dikenakan tarif sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan mereka siap.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa soalan daripada tujuh Anggota Parlimen (AP) yang bertanya tentang kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika ke atas produk farmaseutikal, sektor farmaseutikal Singapura dan ekonomi.

Pada 25 September, Amerika mengumumkan tarif 100 peratus ke atas produk farmaseutikal berjenama atau dilindungi paten yang berkuat kuasa 1 Oktober, melainkan syarikat tersebut sedang membina kilang pengeluaran di Amerika.

Beliau menambah pemerintah juga sedang berbincang dengan Amerika mengenai pengaturan tarif keutamaan untuk eksport farmaseutikal Singapura ke Amerika, dan akan memberikan kemas kini apabila bersedia.

Cik Gan berkata agensi ekonomi Singapura terus menarik pelaburan perkilangan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) baru daripada syarikat sejagat, memberikan sokongan kepada perusahaan tempatan, dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.

Bagaimanapun, beliau mengakui tarif Amerika dan perkembangan sejagat yang berkaitan telah menunjuk ke arah dunia yang berubah dengan ketidakpastian yang lebih besar.

“Kami sedang memantau dengan teliti keadaan dan bersedia untuk memberikan sokongan lanjut mengikut keperluan.

“Lima jawatankuasa yang menjalankan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) sedang membangunkan cadangan mengenai strategi untuk mengembangkan ekonomi kita untuk jangka panjang, dan akan menyediakan kemas kini dalam masa terdekat,” kata Cik Gan.

Cik Gan berkata industri farmaseutikal merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Singapura, dengan lapan daripada 10 syarikat farmaseutikal global teratas mempunyai aktiviti perkilangan dan R&D di Singapura.

Antara 2022 dengan 2024, eksport farmaseutikal Singapura ke Amerika dengan purata $3.7 bilion setahun, yang kebanyakannya merupakan bahan farmaseutikal aktif dan bukannya produk siap sedia seperti tablet dan kapsul.

Pada 30 September, syarikat farmaseutikal Pfizer memperoleh pengecualian tiga tahun daripada tarif yang dikenakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, terhadap industri farmaseutikal.

Dalam persetujuan itu, Pfizer bersetuju mengurangkan harga ubat dan menjualnya langsung kepada warga Amerika.

Pada 2024, Pfizer telah membuka kilang bernilai $1 bilion di Singapura untuk menghasilkan ramuan farmaseutikal untuk penyakit barah dan ubat antibiotiknya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg