Topik diikuti
Pergi ke BHkuMufti: Al-Quran panduan kemudi cabaran pemanasan global, konflik dan AI
Dalam menghadapi cabaran besar, sama ada masa kini mahupun pada masa depan, Al-Quran tetap terus memberi panduan.
Namun, tanggungjawab masyarakat adalah untuk membuka hati dan minda kepada kitab suci dengan bacaan, pemahaman, tadabbur dan renungan, agar dapat mengamalkan isi kandungannya, dengan cara yang terbaik dan bermanfaat, ungkap Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah kepada sekitar 850 tetamu yang hadir bagi acara penyampaian hadiah Majlis Tilawah, Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) pada 16 Ogos di D’Marquee, Downtown East.
Dalam tazkirahnya, Dr Nazirudin berkata kitab suci Al-Quran adalah panduan kehidupan sesuai pada apa jua masa dan tempat, dan bagi apa pun situasi dan keadaan.
Justeru, ia juga dapat membantu dalam mengemudi cabaran seperti persekitaran dan pemanasan bumi, peperangan atau konflik, dan pembelajaran.
Dr Nazirudin berkata:
“Tanggungjawab dan amanah yang kita pikul di atas muka bumi adalah untuk memelihara bumi ini dan memenuhinya dengan kebaikan...
“Apabila kita lupa akan tanggungjawab sedemikian, maka manusia mula menyebabkan kerosakan...
“Kita sering dengar pada hari ini ungkapan panasnya, bukan sedapnya cuaca atau dinginnya cuaca, kerana itulah realiti dan hakikat, kebakaran hutan dan kerosakan pada alam yang berleluasa.”
Selain itu, beliau juga mengungkap tentang keadaan hubungan sesama manusia dan keharmonian serta kestabilan masyarakat, terutama dalam menghadapi kepelbagaian bangsa dan agama dan kerencaman.
“Al-Quran menekankan nilai hormat sesama manusia, bersikap rahmah dan ihsan, saling bantu membantu, menghormati jiran yang dekat mahupun jauh, bersikap adil dan saksama, dan sebagainya,” kata Dr Nazirudin.
Beliau turut mengingatkan bahawa Al-Quran menekankan tentang tadabbur dan tafakkur – iaitu kemampuan manusia untuk merenung, berfikir dan mengambil iktibar dan pengajaran dari kejadian yang berlaku di sekeliling.
Namun, dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat dan cepat, terdapat risiko besar menjejas kemampuan bahkan keinginan untuk berfikir.
Ini meskipun secara amnya, AI banyak memudahkan dan mengganti kerja, tambah Dr Nazirudin.
“Tetapi Allah swt tidak mewakilkan makhluk lain untuk berfikir untuk kita, dan bukan bagi mereka untuk beriman bagi pihak kita, kerana fikiran dan keimanan adalah tanggungjawab peribadi kita,” kata beliau.
