Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenerima Biasiswa Syed Isa Semait tekad tangani isu kesihatan mental masyarakat
Penerima Biasiswa Syed Isa Semait tekad tangani isu kesihatan mental masyarakat
Lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah ingin bawa perubahan positif dengan ilmu pengetahuan, kepakaran agama
Penerima Biasiswa Syed Isa Semait tekad tangani isu kesihatan mental masyarakat
Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) dan Biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berprestij dianugerahkan kepada lulusan madrasah atas pencapaian akademik yang cemerlang, jasa bakti kepada masyarakat dan potensi kepimpinan. Berita Harian (BH) mewawancara dua lulusan yang tidak kenal erti penat dalam menguasai pelbagai tuntutan itu.
Pada usia 19 tahun, Encik Ahmad Eimran Darwisy Mohammed Suhaimi sudah biasa melihat kesan media sosial dan teknologi terhadap kesihatan mental.
Anak sulung empat beradik itu melihat sendiri bagaimana apa yang dikongsikan di wadah tersebut mungkin menimbulkan cabaran yang semakin sukar ditangani oleh masyarakat.
Kesedaran itu mendorongnya untuk membawa perubahan positif menerusi ilmu pengetahuan, kepakaran agama, serta pengalaman yang ditimbang sepanjang bergelar pelajar Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Pencapaian akademik yang cemerlang, bakat kepimpinan, serta khidmat masyarakat yang dicurahkannya di madrasah telah melayakkan beliau menerima biasiswa berprestij, sekali gus memperkasakan dirinya untuk berbakti dengan lebih mendalam kepada masyarakat Melayu/Islam pada masa hadapan.
Beliau antara lima penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) dan Biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi 2026.
Majlis penyampaian kededua biasiswa tahunan itu berlangsung di Singapore Expo pada 20 Julai dan disampaikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad serta Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Pada 2026, MUIS menyampaikan anugerah SISS kepada tiga lulusan madrasah.
Biasiswa itu diperkenalkan pada 2022 dan menyediakan bantuan kewangan sehingga $240,000 dengan ikatan selama enam tahun. Terdapat 11 penerima biasiswa sejak ia dilancarkan.
Ia juga menyokong lulusan madrasah cemerlang dalam melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, dengan matlamat untuk melahirkan bakal pemimpin bagi institusi Islam utama seperti MUIS, Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Eimran berkongsi kebimbangannya terhadap keburukan media sosial yang meningkatkan isu kesihatan mental.
“Saya mendapati trend berkongsi terlalu banyak perkara tentang kehidupan peribadi, seperti kejayaan, keselesaan dan pencapaian telah menjejaskan kesihatan mental masyarakat.
“Perkongsian sebegitu boleh menjadi dorongan, namun ia juga telah menyebabkan segelintir masyarakat mendambakan pengesahan perasaan, berasa rendah diri dan meletakkan tekanan yang besar untuk mengejar kejayaan corak kehidupan yang serupa,” katanya.
Lantas, Encik Eimran bersyukur dianugerahkan biasiswa SISS kerana bakal diberikan peluang untuk mendalami isu tempatan dan sejagat sedemikian.
“Biasiswa ini akan mempersiapkan saya untuk menjadi seorang yang dapat mengatasi cabaran ini pada masa hadapan,” kongsinya.
Encik Eimran menyahut peluang itu sebagai satu “amanah dan tanggungjawab yang amat berat dipikul”.
“Saya yakin program di bawah biasiswa ini, sokongan para asatizah dan mereka yang disekeliling saya akan membantu dalam memperbaiki kemahiran saya untuk menjadi seorang yang dapat berbakti kepada masyarakat Singapura,” jelasnya.
Kededua biasiswa SISS dan MUIS dianugerahkan kepada pelajar madrasah atas pencapaian akademik yang cemerlang, jasa bakti kepada masyarakat dan potensi kepimpinan mereka.
Usahanya itu akhirnya berbaloi, apabila beliau muncul lulusan terbaik IBDP setelah meraih keputusan cemerlang 39 mata daripada mata maksimum 45.
Beliau bijak menguasai kededua disiplin agama dan biasa, sekali gus dinobatkan pelajar terbaik bagi subjek seperti Matematik, sistem persekitaran dan masyarakat (ESS), sastera bahasa Arab dan undang-undang agama pada 2025.
Serentak itu, beliau mencapai keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) sebanyak 3.94 daripada 4 bagi ukhrawi pada 2024 dan 2025.
Encik Eimran turut aktif menabur bakti kepada masyarakat.
Antaranya ialah membantu dalam usaha kutipan derma untuk bantuan kemanusiaan Gaza, membekalkan barang keperluan untuk keluarga rentan serta membantu golongan yang memerlukan di Indonesia.
Beliau turut menggalas pelbagai tugas kepimpinan, termasuk menjadi ketua majlis pelajar pada 2025, dan kerap menerajui pelbagai jenis acara di sekolah.
Encik Eimran berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, dalam bidang syariah Islam, kerana berminat untuk mendalami hukum agama.
“Bidang ini amat diperlukanlah dalam masyarakat kita terutama sekali dengan perkembangan dunia dan masyarakat yang kian menghadapi lebih banyak isu kontemporari,” tambahnya.
Menerusi ilmu itu, beliau merasakan ia dapat membantunya mengatasi cabaran yang tidak pernah dilalui oleh masyarakat sebelum ini, sesuai dengan konteks masa kini.