Sungguhpun Singapura adalah negara kecil, orang ramai khususnya dalam kalangan masyarakat di mana kebencian dan pecah-belah menguasai segalanya diharapkan dapat menjadikan pulau kecil ini sebagai contoh teladan.
Inilah antara renungan yang dicatat Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir sempena Hari Kebangsaan pada 9 Ogos di Instagramnya.
“Kita adalah negara kecil tetapi kita mengharapkan orang lain dapat meneladani kita, khususnya dalam kalangan masyarakat di mana kebencian dan berpecah-belah menguasai segalanya - di mana kaum, agama dan warna kulit digunakan untuk mewajarkan penderaan, diskriminasi dan keganasan secara terang-terangan - di mana tiada yang rasa selamat kerana kepercayaannya.
“Dalam zon konflik paling teruk di dalam dunia seperti Palestin, keamanan dan harmoni, apatah lagi keselamatan amat diperlukan.
“Dunia harus mempercayai bahawa kita secara kolektif boleh mengubah situasi, walau bagaimana sukar sekalipun,” tulis Dr Nazirudin.
Awal daripada itu, beliau menjelaskan bahawa Hari Kebangsaan mengingatkan kita tentang nikmat terbesar Tuhan, sepertimana ulang tahun lain.
Ia juga mengingatkan kita tentang ruang bersama yang dipanggil kediaman atau rumah kita.
“Kediaman kita ini iaitu Singapura telah mengharungi rangsangan saksama cabaran dan pergolakannya.
“Namun hari ini, kita menikmati keamanan, keharmonian dan kemajuan yang telah datuk moyang kita dengan penuh jerih payah bina serta legasi yang kita usahakan untuk kekalkan dan kembangkan,” tambah Dr Nazirudin.
Daripada jendela rumahnya, beliau dapat mendengar banyak bahasa diucapkan, menghidu bermacam jenis sajian makanan serta memerhatikan keluarga daripada agama berbeza mendirikan sembahyang masing-masing.
“Walaupun kehidupan kita sangat berbeza, kita hidup bersama dalam semangat mengambil berat terhadap satu sama lain dan tidak membiarkan perbezaan memecahbelahkan kita.
“Ini yang menjadikan kediaman kita unik dan luar biasa. Kepelbagaian telah menjadi sumber kekuatan kita dan bukannya sebab yang dianggap kelemahan.
“Cara hidup kita untuk hidup dalam perbezaan kian menjadi komoditi yang jarang ditemui dalam dunia yang bergolak di mana kita tinggal hari ini.
“Adalah lebih mudah kini untuk membenci daripada mengambil berat (tentang insan lain), mengecam daripada menghormati, merosakkan daripada membangun,” ujar Dr Nazirudin.
Beliau menambah bahawa Singapura telah melalui perjalanan panjang untuk mewujudkan permata istimewa ini, hadiah dan respons pada panggilan Tuhan untuk ketahui dan menghormati serta bersikap adil dan berbudi terhadap satu sama lain.
“Marilah kita perbaharui komitmen kita untuk melindungi hadiah ini dan sentiasa bersyukur dengannya,” katanya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg