QuranSG kembali pada 2024 dengan pelancaran dua inisiatif baru iaitu Pertandingan Tadabbur QuranSG dan program Seminar QuranSG.
Dua projek baru dalam gerakan yang diterajui pihak masjid dengan kerjasama Pejabat Mufti serta disokong oleh Sektor Satu Masjid (OMS) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), telah diperkenalkan secara rasmi oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir di Masjid An-Nur pada 13 Julai.
Kededua inisiatif baru itu adalah penambahan yang melengkapkan usaha sedia ada untuk mendalami kefahaman Al-Quran masyarakat di Singapura, kongsi Pengerusi QuranSG, Ustaz Mohamed Ali Atan.
Usaha sedia ada termasuk jerayawara QuranSG, Pertandingan Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) dan Festival QuranSG.
Dengan tema ‘Al-Quran: Pemangkin Keyakinan dan Kebijaksanaan’, matlamat QuranSG pada 2024 bertujuan mendalami lagi pemahaman Al-Quran masyarakat Islam di Singapura.
“Pada tahun ini (2024) kami masih lagi mengekalkan kegiatan yang kita adakan pada tahun lepas (2023) seperti klinik Al-Quran Express di mana para jemaah boleh menyemak bacaan mereka dan juga pameran bergerak mashaf Al-Quran. Kami juga menambah satu kegiatan yang baru iaitu seni tulisan khat,” tambah Ustaz Ali.
Bakal bermula pada September kelak, Pertandingan Tadabbur QuranSG ditujukan kepada golongan kanak-kanak dan belia, dan bertujuan memupuk dan memperkaya pemahaman dan renungan Al-Quran.
Selain itu, masyarakat Islam boleh menyertai Seminar QuranSG yang bakal diadakan pada 9 November.
Ia bertujuan mempromosikan wacana Al-Quran dan menggalak pemahaman dan penghayatan program pembangunan Al-Quran.
Lokasi masjid dan maklumat lanjut bagi kededua inisiatif baru itu bakal dikongsi dalam masa terdekat.
Menurut Mufti, usaha sedemikian dapat “meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang Al-Quran dalam kehidupan Islam di Singapura” dan ia dapat berfungsi sebagai “satu bimbingan dan panduan yang menyeluruh” bagi masyarakat Islam di Singapura.
“Ia juga menanamkan semangat dan cinta pada Al-Quran, semangat untuk mendalami lagi pemahamannya, merenungkan maksud-maksud Al-Quran, mempelajari segala kandungan di dalamnya, khusus dalam suasana di mana kadangkala ada kekeliruan dalam kalangan individu,” ujarnya.
Mengambil isu-isu rumit yang berlaku hari ini sebagai contoh, Mufti menekankan bahawa “Al-Quran dapat membantu memahami tuntutan agama dalam menangani isu tersebut kerana ia boleh dijadikan panduan yang menyeluruh bagi mencapai jalan tengah dan jelas dengan nilai-nilai Al-Quran yang membina keperibadian seseorang Muslim”.
Beliau turut meluahkan harapan agar usaha seperti QuranSG dan MTTQ dapat “menyemarakkan semula semangat untuk menjadi pencinta Al-Quran”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg