Mufti: Pemahaman, renungan makna Al-Quran penting bagi ubah diri
Mufti: Pemahaman, renungan makna Al-Quran penting bagi ubah diri
Lebih daripada sekadar membaca atau tilawah Al-Quran, pemahaman dan renungan yang mendalam penting bagi mengubah diri.
Perkara ini dikongsi oleh Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang menyampaikan pesanan tentang memperkukuh hubungan dengan Al-Quran semasa ceramah tazkirah sempena Nuzul Quran, iaitu peristiwa turunnya kitab suci itu kepada Nabi Muhammad saw.
Acara yang diadakan pada 6 Mac di Masjid Darul Ghufran itu dihadiri sekitar 1,000 jemaah.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam ceramahnya, Dr Nazirudin mengingatkan bahawa Ramadan memperingati peristiwa turunnya Al-Quran, sekali gus menjadi peluang bagi umat Islam memperbaharui komitmen mereka terhadap panduan Allah.
Menurut beliau, sekadar membaca Al-Quran tidak mencukupi tanpa usaha memahami dan merenungi maknanya secara mendalam.
Mufti turut menekankan bagaimana ajaran Al-Quran dapat membentuk akhlak dan tindakan harian, dengan nilai rahmah serta kesopanan terserlah dalam interaksi harian.
Beliau menyifatkan Ramadan sebagai satu latihan rohani yang mendidik sifat disiplin, kesabaran dan kesyukuran, yang seharusnya diteruskan dalam kehidupan walaupun selepas berakhirnya bulan suci itu.
Dalam pada itu, Mufti turut menyeru masyarakat agar menghargai keamanan dan keselamatan yang dikecapi di Singapura, sambil mengingati mereka yang sedang menghadapi pelbagai ujian di bahagian lain dunia.
Pada masa sama, Timbalan Mufti Dr Izal Mustafa Kamar mengetuai doa khas memohon keamanan dan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.
Doa turut meliputi jemaah yang menunaikan ibadah umrah serta para pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di Timur Tengah.

