Peranan imam sebenar – lambang penyatu, penjaga keharmonian masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan imam sebenar – lambang penyatu, penjaga keharmonian masyarakat

Mar 6, 2026 | 3:38 PM

Peranan imam sebenar – lambang penyatu, penjaga keharmonian masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Peranan imam muda itu bukan sekadar rutin ibadah atau persembahan bagi menyedapkan halwa telinga jemaah semata-mata. Namun, mereka juga memainkan peranan sebagai generasi pemimpin masyarakat akan datang.
Peranan imam muda itu bukan sekadar rutin ibadah atau persembahan bagi menyedapkan halwa telinga jemaah semata-mata. Namun, mereka juga memainkan peranan sebagai generasi pemimpin masyarakat akan datang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Hari ini semakin ramai anak muda ke depan menjadi imam di masjid.

Itu menjadi petanda baik kala anak muda kini lebih berani menggalas peranan yang cukup penting.

Peranan imam muda bukan sekadar rutin ibadah atau persembahan bagi menyedapkan halwa telinga jemaah semata-mata.

Saat imam melafazkan takbiratulihram dan disambut jemaah, itu menandakan bermulanya satu amanah kepimpinan.

Kepimpinan dalam solat itu pula merupakan cerminan kepimpinan dalam masyarakat yang lebih luas skopnya.

Teringat saya akan kata-kata pensyarah saya sewaktu menuntut di sebuah universiti di Malaysia tidak lama dulu.

“Anak muda ialah generasi pemimpin masyarakat yang seterusnya. Solat jemaah itu pula melambangkan kesatuan masyarakat yang dipimpin oleh imam.

“Imam itu lantas harus dipercayai kebolehan dan kewibawaannya oleh masyarakat,” tegas beliau.

Pertama sekali, sang imam itu berfungsi sebagai penyampai mesej dan nilai daripada lantunan surah yang dibaca sewaktu solat.

Setiap ayat yang dilafazkan merupakan inti pati Al-Quran yang berkisar tentang akhlak, hukum-hakam serta kisah kenabian yang boleh diambil iktibarnya.

Seorang imam itu bukan sahaja menyebarkan kebaikan kepada jemaah melalui mesej sebalik ayat yang dibaca.

Malah, seorang imam itu juga harus memastikan dengan sebaik mungkin agar perilakunya sesuai dengan nilai murni Al-Quran yang dibaca dalam solat.

Imam muda juga harus ‘menyusur akar’ ke dalam lingkungan jemaah demi lebih mengenali dan memahami masyarakat yang dipimpin.

Kelompok jemaah acap kali mencakupi individu daripada pelbagai latar belakang.

Justeru, sebagai imam, hal ini seharusnya mendorong diri untuk peduli akan keadaan masyarakat.

Penting bagi seorang imam untuk mendekati jemaah supaya mereka dapat memahami keperluan dan masalah yang membelenggu masyarakat.

Di satu sisi, seorang imam itu berperanan untuk ‘berkhidmat’ kepada masyarakat dalam memastikan solat yang dipimpin itu selesa buat jemaah.

Pada masa sama, imam juga harus memastikan solat itu menepati segala rukun dan syarat sah yang mengabsahkan solatnya jemaah.

Peranan imam itu turut menjadi lambang penyatu dan penjaga keharmonian masyarakat.

Saat jemaah berdiri rapat dalam saf mengikuti imam, itu merupakan simbol kebersamaan yang patut diterjemahkan dalam amalan kehidupan seharian di luar solat.

Lantas, seorang imam muda itu juga wajar menggalakkan silaturahim sesama jemaah dengan sentiasa beramah mesra dan menjalin hubungan baik dalam lingkungan masyarakat tersebut.

Sedar atau tidak, sifat yang perlu disemai dalam diri seorang imam ialah pantulan jiwa kemasyarakatan yang perlu wujud dalam diri seorang pemimpin.

Jika dalam konteks kehidupan kampung, imam itu bukan sekadar menjadi teladan di kampung itu.

Malah, imam itu orang pertama yang dicari tatkala masyarakat berdepan dengan masalah baik kemusykilan agama mahupun masalah harian.

Dari situ, imam itu dapat dihargai sebagai ketua yang serba luas pengetahuannya dan sedia berbakti kepada masyarakat.

Kini, konteks kehidupan bandar sudah berbeza. Bidang ilmu yang diperlukan demi berdepan dengan masalah kemasyarakatan juga kian berubah.

Lantas, kita raikan golongan anak muda ini yang menjadi imam, merekalah penyambung generasi pemimpin di masjid dan dalam masyarakat secara amnya.

Dengan keberanian dan kudrat yang dimiliki anak muda, mereka harus terus melengkapi diri dengan ilmu, kebijaksanaan dan berjiwa masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg