Umat Islam, khususnya masyarakat Singapura, perlu bermuhasabah diri dan akui keadaan sendiri, sebelum menubuhkan hubungan lebih mendalam terhadap isi kandungan Al-Quran bagi mendorong tindakan bermakna terhadap isu semasa, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Berucap di Seminar QuranSG di Pusat Konvensyen Suntec pada 24 Oktober, beliau berkata jika keadaan ini diakui, peringatan, ajaran, dan panduan daripada Al-Quran dapat membantu umat Islam “menangani cabaran semasa secara positif”.

“Jika kita mengakui keadaan diri kita terlebih dahulu, barulah pengetahuan tentang Al-Quran dapat memberikan kesan,” kata Dr Nazirudin.

Empat keadaan yang umat Islam perlu akui terlebih dahulu, kata beliau, adalah sifat kelemahan, kerentanan, kejahilan, dan sifat mementingkan diri.

“Namun, Tuhan penuh dengan sifat kasih, kepedulian, belas ihsan, serta kebaikan, dan menganggap manusia sebagai ciptaan yang baik dan penuh dengan potensi,” tambahnya.

Acara itu menutup tirai edisi keempat program QuranSG anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang berlangsung dari Jun hingga Oktober.

Ia menggalakkan masyarakat Melayu/Islam mengambil bahagian dalam pembelajaran berterusan dan merenung mesej dalam Al-Quran.

Kenyataan MUIS pada 25 Oktober berkata edisi kali ini melihat penglibatan lebih kurang 15,000 peserta dalam pelbagai kegiatan dan program sepanjang lima bulan itu.

Seminar dengan tema ‘Perjalanan Berkenaan Tadabbur: Menyemarakkan Kembali Hubungan Kita Dengan Al-Quran’ itu dihadiri sekitar 400 peserta.

Sehubungan itu, Mufti berkata cabaran yang dihadapi Singapura hari ini bersifat existential atau perihal kewujudan yang terkait dengan aspek kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, perubahan iklim, perpecahan sosial dan konflik.

Beliau menambah bahawa aspek-aspek ini boleh menjelma dalam bentuk berbeza bagi cabaran yang sama merentasi peredaran masa yang tidak berpunca daripada faktor lain melainkan tingkah laku, sikap, dan tindakan manusia.

Aspek itu harus menjadi tumpuan masyarakat dan umat Islam “perlu mendalaminya lagi untuk mencari panduan daripada Al-Quran”, katanya.

Di sinilah, ujar Mufti lagi, kepentingan tadabbur atau penghayatan mendalam terhadap Al-Quran membawa manfaat kepada semua.

“Jika anda merenungi makna (di sebalik ayat-ayat) Al-Quran, anda akan mula melihat petunjuk mengenai perkara yang baik dan buruk.

“Anda mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk, serta memahami kesudahan dan akibat daripada perkara yang baik mahupun yang buruk itu,” kata beliau.

Oleh demikian, Mufti memberi nasihat agar masyarakat Islam di sini merujuk kepada peringatan, ajaran dan panduan Al-Quran dalam menangani cabaran masa kini dengan cara yang positif dan menjadi teladan kepada yang lain.

Seminar itu turut dihadiri penceramah jemputan iaitu Profesor Madya Dr Muhammad Arif Musa dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang menyampaikan pembentangan mengenai cara berinteraksi dengan Al-Quran secara bermakna.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti