Topik diikuti
Pergi ke BHkuKakak juara tilawah belia, adik naib juara tilawah kanak-kanak
Apabila menyedari ketiga-tiga puteri mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap nyanyian dan qasidah pada 2025, pasangan suami isteri, Cik Haryanti Abdul Hamid dan Encik Abdul Hadi Mohamed, mengambil keputusan memupuk minat tersebut.
Melihat potensi anak-anak mereka, Cik Haryanti, 43 tahun, seorang suri rumah dan Encik Abdul Hadi, 44 tahun, seorang pengurus kejuruteraan dan keselamatan, mula mencari guru taranum dalam talian yang dapat membantu anak-anak mereka mendalami bidang tilawah Al-Quran, atau bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Namun, tidak pernah terlintas di fikiran mereka langkah itu bakal membawa kemenangan bagi dua puteri mereka, Hurin Aairah, 14 tahun, dan Huraiyah Aasfa, 12 tahun, yang telah dinobatkan sebagai johan dan naib johan, masing-masing, bagi Tilawah Belia dan Kanak-kanak dalam kategori Qariah di pertandingan Majlis Musabaqah Tilawah, Tahfiz & Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) 2026.
Air mata kegembiraan mengalir tanpa disedari Cik Haryanti, Encik Abdul Hadi dan anak kedua, Hurin, semasa acara penyampaian hadiah MTTTQ yang berlangsung di D’Marquee di Downtown East pada 16 Ogos.
Anak sulung mereka, Hurul Aafreen, 15 tahun, yang memasuki pertandingan sama malangnya gagal pada pusingan awal, namun tetap hadir untuk memberi sokongan kepada adik-adiknya.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Haryanti dan Encik Abdul Hadi sempat berkongsi perjalanan yang dilalui anak-anak mereka.
“Anak-anak saya ini suka bernyanyi di rumah dan kerana mereka sudah mempunyai minat itu, saya dan suami cuba untuk mencari guru yang dapat mengajar mereka tentang taranum dan tilawah.
“Sebanyak dua kali saya cuba tanya Cik Nur Hafyzah Jumee, ibu kepada Naurah Khalisah Nasser, yang pernah menjuarai pertandingan MTTQ kategori kanak-kanak, tapi permintaan saya agar Naurah dapat mengajar anak-anak saya itu ditolak.
“Kali ketiga cuba baru berjaya dan selepas beberapa bulan, Naurah berkongsi anak-anak saya dapat capai nota dan saya pun mendaftarkan anak-anak saya bagi pertandingan MTTTQ tahun lalu (2025).
“Tak sangka pula Hurin dan Huraiyah dapat menang tempat kedua,” ujar Cik Haryanti.
Terdorong mencuba sekali lagi, beliau mendaftarkan anak-anaknya sekali lagi pada 2026 dan keputusan itu membawa ganjaran manis dan kesyukuran bagi seluruh keluarga.
Awal dikenali sebagai Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran Singapura (MTTQ), majlis anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berubah menjadi MTTTQ demi melibatkan Tadabbur, yang bermaksud renungan secara mendalam makna ayat-ayat Al-Quran untuk memahami maksud yang ingin disampaikan Allah swt.
MTTTQ merupakan sebahagian daripada QuranSG, inisiatif yang diterajui masjid setempat dengan kerjasama Pejabat Mufti serta Muis, untuk menghidupkan pembelajaran Al-Quran menerusi program di masjid.
Meskipun perlu berpantang dan mengelak daripada minum air batu kegemaran dan makan makanan pedas demi menjaga suara, Hurin dan Huraiyah tidak mengeluh, kata Cik Haryanti.
Malah, mereka sekeluarga telah menyambut kemenangan pada 16 Ogos itu dengan membeli ‘bubble tea’, kongsi Cik Haryanti dengan gembira kepada BH.
Cik Haryanti berharap puteri-puterinya dapat membawa pedoman Al-Quran di mana mereka berada.
Selain itu, turut dinobatkan sebagai juara Tilawah Dewasa kategori Qariah ialah Ustazah Aliah Husna Khamsani, yang akan mewakili Singapura dalam pertandingan Al-Quran di peringkat antarabangsa pada 2027.
Ustazah Aliah juga berkongsi kemenangan itu dengan adik-beradiknya Ustazah Nurul Huda yang memenangi tempat kedua, Ustazah Nurul ‘Izzah yang meraih tempat kelima, serta Ustaz Muhammad Tirmizi yang mendapat tempat ketiga bagi kategori Qari.
