Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muhammadiyah agih keperluan sekolah termasuk cermin mata kepada kanak-kanak memerlukan

Dec 8, 2024 | 4:54 PM
Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok (empat dari kiri) mengagihkan kit ‘Kembali ke Sekolah’ di Bukit Batok Street 21, pada 8 Disember. Bersama beliau ialah Setiausaha Am Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim (dua dari kiri); Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (tiga dari kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Kelab Masyarakat Bukit Batok, Encik Baharudin Said (dua dari kanan).
Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok (empat dari kiri) mengagihkan kit ‘Kembali ke Sekolah’ di Bukit Batok Street 21, pada 8 Disember. Bersama beliau ialah Setiausaha Am Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim (dua dari kiri); Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (tiga dari kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Kelab Masyarakat Bukit Batok, Encik Baharudin Said (dua dari kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Seramai 310 kanak-kanak daripada keluarga pendapatan rendah di Bukit Batok bukan sahaja menerima barangan keperluan sekolah seperti beg galas, baucar dan alat tulis, bahkan cermin mata bagi yang memerlukannya.

Inisiatif anjuran Persatuan Muhammadiyah dengan kerjasama Masjid Ar-Raudhah dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Bukit Batok itu memberi kelengkapan sekolah penting kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.

Setiausaha Am Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim, memetik kajian daripada Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) yang menunjukkan 10 peratus kanak-kanak di Singapura akan mengalami masalah rabun jauh menjelang usia lima tahun.

“Jadi, kami berasa kerjasama dengan syarikat optik bagi menyediakan cermin mata mampu milik bagi mereka yang memerlukan adalah langkah yang membantu,” ujar Cik Roszanah.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Berita Harian di acara pengagihan kit ‘Kembali ke Sekolah’ di gelanggang bola keranjang di Blok 224, Bukit Batok Street 21 pada 8 Disember.

Daripada 120 kanak-kanak yang hadir untuk menerima kit tersebut, seramai 25 peratus memerlukan cermin mata.

Baki 190 kit akan dihantar kepada keluarga memerlukan oleh sukarelawan Muhammadiyah sepanjang Disember.

Inisiatif tersebut, yang baru dilancarkan Muhammadiyah, bertujuan memberi semangat dan mempersiapkan mereka untuk memulakan tahun persekolahan dengan yakin.

Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok, turut hadir dan menyertai pengagihan kit tersebut.

Muhammadiyah bekerjasama dengan AeroV - The Orthokeratology and Myopia Control Clinic untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mata dan pemberian cermin mata.

Kanak-kanak yang memerlukan cermin mata mendaftar semasa acara tersebut dan dijadualkan untuk bertemu dengan optometris di AeroV pada tarikh lain.

Tiga daripada sembilan anak Cik Faridah Abdullah ialah antara mereka yang telah mendaftar untuk mendapatkan cermin mata. 

Cik Faridah, 46 tahun, berkata: “Alhamdulillah, bantuan ini benar-benar meringankan beban saya dan suami. Dengan hanya bergantung kepada pendapatan suami, bantuan ini menjimatkan wang untuk keperluan seperti keperluan anak bongsu (empat tahun) saya yang autistik.”

Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (dua dari kiri) dan penerima bantuan, Cik Faridah Abdullah (kanan) bersama tiga anaknya.
Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan (dua dari kiri) dan penerima bantuan, Cik Faridah Abdullah (kanan) bersama tiga anaknya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan sokongan Warees Investments serta sumbangan orang ramai melalui Give.Asia, kit tersebut merangkumi beg galas, set alat tulis lengkap dan baucar di samping cermin mata bagi yang memerlukannya.

Sebanyak 120 kit ‘Kembali ke Sekolah’ diberi semasa acara pengagihan pada 8 Disember. Ia merangkumi beg galas, set alat tulis lengkap dan baucar di samping cermin mata bagi yang memerlukannya.
Sebanyak 120 kit ‘Kembali ke Sekolah’ diberi semasa acara pengagihan pada 8 Disember. Ia merangkumi beg galas, set alat tulis lengkap dan baucar di samping cermin mata bagi yang memerlukannya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Selain pengagihan itu, Forum Keluarga 2024 turut diadakan demi menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran keluarga ceria sebagai asas kejayaan anak-anak.

Bertemakan “Keluarga Ceria, Anak Berjaya”, forum itu bertujuan memberikan ibu bapa panduan praktikal dalam membentuk peribadi dan motivasi anak-anak melalui komunikasi positif dan penglibatan aktif. 

Dalam forum itu, Pengerusi Eksekutif dan perunding utama SuChi Success Initiatives Pte Ltd dan Ketua bagi Jawatankuasa Kecil Bapa Teladan di Nakhoda, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor dan Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff mengongsi panduan agama untuk memupuk nilai moral dan kerohanian dalam kalangan anak-anak. 

Forum tersebut dikendalikan selebriti veteran Suhaimi Yusoff.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg