Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis perbaharui perjanjian dengan Darul Arqam sebagai pusat sehenti mualaf

Turut hulur geran $1.8j untuk badan itu sedia khidmat kepada golongan tersebut
Dec 10, 2024 | 7:49 PM
Presiden Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna (dua dari kiri), dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed (dua dari kanan), menandatangani perjanjian baru bagi Darul Arqam terus menjadi pusat sehenti bagi khidmat mualaf untuk tempoh tiga tahun mendatang sehingga Disember 2027. Majlis tandatangan yang diadakan di pejabat Muis, Braddell Road pada 10 Disember itu disaksikan pengurus besar Darul Arqam, Cik Norsiah Saad (kiri), dan Timbalan Mufti, Dr Mohd Murat Md Aris (kanan).
Presiden Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna (dua dari kiri), dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed (dua dari kanan), menandatangani perjanjian baru bagi Darul Arqam terus menjadi pusat sehenti bagi khidmat mualaf untuk tempoh tiga tahun mendatang sehingga Disember 2027. Majlis tandatangan yang diadakan di pejabat Muis, Braddell Road pada 10 Disember itu disaksikan pengurus besar Darul Arqam, Cik Norsiah Saad (kiri), dan Timbalan Mufti, Dr Mohd Murat Md Aris (kanan). - Foto MUIS

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menandatangani satu perjanjian baru bersama Darul Arqam bagi membolehkan badan itu terus menjadi pusat sehenti yang menyediakan khidmat bagi mualaf untuk tempoh tiga tahun mendatang sehingga Disember 2027.

Di samping itu, geran sebanyak $1.8 juta daripada dana zakat untuk mualaf bagi sepanjang tempoh tiga tahun itu – atau $600,000 setahun – juga dihulurkan kepada badan tersebut supaya ia dapat terus menyediakan khidmat kepada golongan mualaf.

Geran itu adalah sekitar 18.7 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang diberikan sebelum ini.

Muis dalam satu kenyataan pada 10 Disember berkata pemberian geran tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan mereka dalam memupuk kerjasama dan menyokong badan Islam dalam menyediakan khidmat sosioagama kepada masyarakat.

Perjanjian baru itu ditandatangani Presiden Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna, dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed, di pejabat Muis di Braddell Road pada 10 Disember.

Encik Kadir berkata Muis amat komited dalam memupuk kehidupan keagamaan masyarakat yang bertenaga, yang memastikan setiap individu, termasuk saudara baru Islam, disokong dalam perjalanan kerohanian mereka.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Darul Arqam atas dedikasi dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi dalam melancarkan program yang menyokong mualaf kita dan memperkayakan masyarakat kita.

“Bersama, kita mewujudkan persekitaran yang terangkum di mana semua orang boleh berkembang maju dalam kepercayaan mereka dan mencari rasa kekitaan,” kata beliau.

Encik Imran, dalam ucapannya di majlis menandatangani perjanjian baru itu, pula telah melahirkan rasa terima kasih kepada Muis atas peningkatan dana yang disediakan bagi menyokong program, kegiatan dan daya usaha pendidikan untuk golongan mualaf.

“Kemurahan hati ini memperkukuh komitmen kami untuk menggunakan sumber ini dengan berkesan, demi membantu mualaf mendalami pemahaman mereka tentang Islam dan mendekatkan diri kepada Allah swt,” kata beliau.

Darul Arqam kali pertama dilantik sebagai pusat sehenti yang menyediakan khidmat kepada saudara baru Islam pada September 2005.

Ini termasuk khidmat pendaftaran masuk Islam dan program sokongan serta pendidikan lain seperti kelas asas Islam sejajar dengan yang dimandatkan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Dari Januari hingga November 2024, seramai 829 individu memeluk Islam di Darul Arqam.

Pada 2021, jumlah itu adalah 726 individu; pada 2022, 710 individu; dan pada 2023, 862 individu.

Muis berkata kerjasama pihak mereka dengan Darul Arqam memastikan mualaf mempunyai akses kepada sebuah pusat sehenti yang menyeluruh bagi khidmat agama dan hal berkaitan memeluk Islam.

Ini membantu menyelaraskan proses untuk mereka yang sedang mencari maklumat tentang Islam dan memindah agama.

Sementara Darul Arqam mengendalikan pusat itu, Muis pula mengekalkan peranan pentingnya sebagai pengawal selia dan pemudah cara bagi hal berkaitan pindah agama, di samping menegakkan tanggungjawab berkanunnya untuk menjaga daftar mualaf yang tepat di Singapura.

“Komitmen diperbaharui itu adalah sebahagian usaha berterusan Muis bagi mengukuhkan fabrik masyarakat Islam Singapura, yang menggalak keterangkuman dan pertumbuhan rohani untuk semua anggotanya.

“Melalui lanjutan kerjasama ini, Muis terus memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan keagamaan masyarakat dan memastikan kebajikan mualaf dijaga dengan baik,” kata Muis dalam kenyataannya.

“Melalui lanjutan kerjasama ini, Muis terus memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan keagamaan masyarakat dan memastikan kebajikan mualaf dijaga dengan baik.”
Muis dalam kenyataannya pada 10 Disember.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg