Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengambil pendekatan berhemat dan mampan dalam membina masjid baru dan mengambil kira faktor utama yang menyumbang kepada penggunaan kemudahan pada masa hadapan apabila menentukan sama ada masjid baru akan dibina.
Ini termasuk unjuran perubahan bilangan penduduk, serta rancangan pembangunan tanah seperti pembinaan kawasan perumahan baru, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan bertulis oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) mengenai parameter perancangan bilangan penduduk yang digunakan untuk menentukan sama ada masjid baru akan dibina.
Beliau juga bertanya sama ada parameter tersebut akan merangkumi bilangan penduduk yang bekerja pada waktu siang dan pekerja asing.
Dalam responsnya, Dr Faishal berkata: “Muis merancang lebih awal untuk keperluan agama masyarakat Islam.
“Muis juga memantau corak ibadah di lapangan, yang merangkumi penduduk Islam serta pekerja tempatan dan asing, untuk memastikan bekalan ruang solat yang mencukupi,” tambahnya.
Masjid di Singapura dibiayai oleh masyarakat melalui Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata jika perlu, Muis juga bekerjasama dengan masjid dan agensi berkaitan untuk menyediakan ruang solat tambahan.
Ini termasuk menyediakan sesi ibadah tambahan untuk solat Jumaat, dan penyediaan ruang solat di asrama.
Memberi jaminannya, Dr Faishal berkata: “Muis akan terus menyokong masyarakat Islam dalam memenuhi kewajipan agamanya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg