Topic followed successfully
Go to BHkuMuis, Amtas pantau keadaan di Timur Tengah bagi urusan umrah, haji
Muis, Amtas pantau keadaan di Timur Tengah bagi urusan umrah, haji
Muis, Amtas pantau keadaan di Timur Tengah bagi urusan umrah, haji
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang bekerjasama dengan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) dalam memantau keadaan di Timur Tengah mengenai urusan umrah dan haji, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menurutnya, pemerintah akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan, sekali gus mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Singapura.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast), di Parlimen pada 7 April, mengenai sokongan yang diberikan kepada orang ramai ekoran kesan konflik di Timur Tengah.
Berkongsi lanjut, Dr Faishal berkata:
“Muis juga bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Amtas mengenai urusan umrah dan haji.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti, dan mengambil langkah-langkah yag diperlukan.
“Yang penting, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Singapura adalah keutamaan kita.”
Beliau juga menambah bahawa Muis sedang berhubung dengan pelajar Singapura di Timur Tengah dan memberikan sokongan yang diperlukan.
Susulan konflik di Timur Tengah, Dr Faishal berkata bahawa pemerintah akur dengan kebimbangan mendalam yang dirasai masyarakat.
Lantas, dengan penutupan Selat Hormuz, yang mengakibatkan kekurangan bekalan tenaga global termasuk minyak mentah dan gas, Singapura telah mengambil langkah untuk mengukuhkan ketahanan.
“Kami telah mempelbagaikan sumber tenaga menjangkau rantau Timur Tengah, dan mengekalkan simpanan makanan strategik untuk mengurangkan gangguan bekalan,” ujar beliau.
Dr Faishal menambah kesan daripada kenaikan itu akan dirasai oleh rakyat Singapura dengan harga tenaga dan makanan yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kos sara hidup.
Lantas, di samping pemerintah memantau dengan teliti harga makanan dan barangan, Dr Faishal turut menukil butiran sokongan segera yang dikongsi Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow di Parlimen pada 7 April.
Ini termasuk rebat Cukai Pendapatan Korporat yang dipertingkat dan meluaskan Geran Kecekapan Tenaga kepada semua sektor, katanya.
Bagi individu pula, Singapura akan memberikan baucar CDC lebih awal dan menambah Bayaran Khas Kos Sara Hidup Belanjawan 2026 sebanyak $200 bagi rakyat Singapura yang layak, untuk meringankan kos perbelanjaan harian.
“Pemerintah bersedia memberikan sokongan tambahan jika diperlukan,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal turut menggesa masyarakat untuk memainkan peranan bagi “menjimatkan tenaga, mengelakkan pembaziran, dan lebih berhati-hati dalam cara kita menggunakan sumber.”
Ini di samping bersatu hati dan menyokong satu sama lain, dan bukan mewujudkan perpecahan dalam masyarakat dalam masa mencabar ini.

