Topik diikuti
Pergi ke BHkuPergas luas peranan langkaui fungsi tradisional; lindungi kerjaya dan emosi asatizah
Pergas luas peranan langkaui fungsi tradisional; lindungi kerjaya dan emosi asatizah
Semakin aktif mainkan peranan sedia sokongan demi perjuangkan nasib pendidik agama di S’pura
Pergas luas peranan langkaui fungsi tradisional; lindungi kerjaya dan emosi asatizah
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) telah memikul peranan melangkaui fungsi asalnya dalam memelihara legasi ulama, menyatukan asatizah mapan, membentuk masyarakat Islam, serta menawarkan latihan keagamaan bagi membantu guru agama menjalankan tugas mereka di Singapura.
Badan Islam itu kini dilihat semakin aktif menyediakan sokongan demi memperjuangkan nasib serta kebajikan pekerja bagi golongan pendidik agama di negara ini – ia seumpama berfungsi sebagai sebuah kesatuan pekerja, kata Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.
Malah, terdapat asatizah yang datang menemui Pergas untuk meluahkan masalah berkaitan kerjaya, termasuk isu diberhentikan kerja yang dirasakan tidak adil, atau kebimbangan mengenai isu kewangan, tambahnya.
“Kita bukanlah berdaftar sebagai sebuah kesatuan pekerja tetapi kita pasti berfungsi seperti sebuah kesatuan sekerja secara tidak langsung.
“Ada yang mungkin dibuang kerja merasakan keputusan itu tidak adil.
“Justeru, mereka melihat Pergas sebagai badan yang mampu memberikan mereka sokongan dan sebagainya,” kata beliau dalam podcast BHerbual terbitan Berita Minggu baru-baru ini
Ustaz Tarmizi berkata antara usaha yang dijalankan Pergas termasuk menyediakan sokongan emosi buat asatizah melalui inisiatif Asatizah Solace Care, bagi membantu guru agama yang menghadapi tekanan mental seperti kemurungan dan keresahan.
Ustaz Tarmizi, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi Wahid, mengambil alih kepimpinan Pergas daripada tokoh mapan Ustaz Dr Mohamad Hasbi Hassan pada 2023, satu amanah yang diakuinya “sangat berat dan mencabar”.
Selain memelihara legasi Pergas, Ustaz Tarmizi berkata penting juga untuk badan Islam itu memastikan peranannya kekal relevan buat anak muda dan memenuhi keperluan masyarakat pada masa hadapan.
“Beberapa asatizah mapan merasakan mungkin untuk generasi sekarang ini, kami memerlukan kepimpinan yang muda sedikit.
“Pemimpin yang dimaksudkan adalah seseorang yang boleh mengendalikan isu lebih moden yang semakin rumit, dan dapat berhubung secara berterusan dengan golongan muda,” katanya.
Menyentuh tentang jangkaan masyarakat, Ustaz Tarmizi menjelaskan peranan asatizah pada hari ini berkembang melangkaui kepakaran bidang agama tradisional semata-mata, sehingga mereka sering dianggap sebagai jack of all trades (tahu dalam semua perkara).
Jika dahulu asatizah hanya perlu menguasai bidang khusus seperti fikah atau akidah, generasi masa kini dituntut mempunyai pengetahuan dalam sosiologi, psikologi, kewangan, pelaburan, malah kecerdasan buatan (AI).
Meskipun jangkaan tersebut sangat tinggi dan kadangkala membebankan, Ustaz Tarmizi mengingatkan bahawa ulama zaman dahulu juga memiliki kepelbagaian kepakaran, termasuk dalam bidang undang-undang, matematik, dan perubatan.
Bagi menghadapi cabaran ini, Ustaz Tarmizi berkata Pergas telah membangunkan Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN) yang membolehkan asatizah berkongsi pengalaman dalam pelbagai sektor seperti teknologi dan kerja sosial.
“Kita mempunyai beberapa asatizah dalam bidang teknologi. Ada yang mungkin berminat.
“Jadi asatizah yang sudah ada pengalaman ini, mereka boleh berkongsi dalam rangkaian ini.
“Ada yang berada dalam bidang kerja sosial. Ada yang ingin menjadi kaunselor dan sebagainya.
“Jadi mereka boleh berunding dengan asatizah lain ini dan mereka boleh berkongsi maklumat,” jelas Ustaz Tarmizi.
Dalam sesi rakaman podcast itu, Ustaz Tarmizi, yang juga seorang ahli sekutu dalam jawatankuasa fatwa, turut memberikan pandangan mengenai reaksi sinis segelintir masyarakat setiap kali fatwa atau irsyad (panduan) baharu dikeluarkan.
Beliau mendedahkan kritikan yang mendakwa institusi agama di Singapura terlalu liberal atau memberi komen ekstrem seperti “jawablah di akhirat nanti” sudah menjadi lumrah yang perlu dihadapi dengan matang.
“Memang kita semua perlu jawab di akhirat kelak, semua orang perlu jawab,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa proses penyelidikan bagi mengeluarkan satu-satu fatwa sebenarnya sangat mendalam, teliti, dan memakan masa sehingga setahun.
Beliau menekankan bahawa perbezaan pendapat atau khilaf dalam masyarakat tidak menjadi masalah, asalkan ia dibincangkan dengan penuh adab dan rasa hormat tanpa mencetuskan perpecahan sesama ahli keluarga.
Mengenai isu makanan halal yang kadangkala tular dan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial seperti kes Singapore Airlines (SIA) dan Starbucks baru-baru ini, beliau menyifatkan perbincangan terbuka itu sebagai sesuatu yang sihat.
Namun begitu, beliau meluahkan harapan agar perbincangan tersebut dilakukan secara lebih objektif, sivil, dan berintelektual, bukannya mengikut emosi yang boleh meleret kepada perbuatan tidak sopan.
Menurut Ustaz Tarmizi, penentuan makanan halal pada akhirnya sering kembali kepada keputusan, pemahaman, dan kecenderungan peribadi seseorang, termasuk tahap kewarakan individu masing-masing.
Beliau berpendapat bahawa kekecohan dalam isu tersebut lazimnya berpunca daripada masalah komunikasi syarikat terbabit, di mana kejelasan label adalah kunci utama untuk pengguna membuat keputusan sendiri.
“
“Kita bukanlah berdaftar sebagai sebuah kesatuan pekerja tetapi kita pasti berfungsi seperti sebuah kesatuan sekerja secara tidak langsung... Justeru, mereka melihat Pergas sebagai badan yang mampu memberikan mereka sokongan dan sebagainya.”“
“Beberapa asatizah mapan merasakan mungkin untuk generasi sekarang ini, kami memerlukan kepimpinan yang muda sedikit. Pemimpin yang dimaksudkan adalah seseorang yang boleh mengendalikan isu lebih moden yang semakin rumit, dan dapat berhubung secara berterusan dengan golongan muda.”