Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: Pegang teguh prinsip Islam, elak amalan melanggar syarak

Jul 21, 2024 | 5:30 AM
Orang Islam boleh mengamalkan budaya selagi tidak melanggar syarak, kata Muis. Sedang kuda kepang merupakan amalan budaya, beberapa amalannya, termasuk menurun dan melakukan perkara seperti mengunyah kaca serta meminum berbaldi air, bercanggah dengan Islam.
Orang Islam boleh mengamalkan budaya selagi tidak melanggar syarak, kata Muis. Sedang kuda kepang merupakan amalan budaya, beberapa amalannya, termasuk menurun dan melakukan perkara seperti mengunyah kaca serta meminum berbaldi air, bercanggah dengan Islam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Orang Islam boleh menghayati dan mengamalkan budaya selagi ia tidak melanggar syarak, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM) mengenai isu kuda kepang baru-baru ini, Muis menarik perhatian tarian tersebut merupakan satu amalan budaya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa amalan dalam kuda kepang, termasuk menurun dan melakukan perkara seperti mengunyah kaca serta meminum berbaldi air, bukan sebahagian daripada Islam, kata Muis dalam satu hantaran di media sosial baru-baru ini.

“Muis berasa kini tepat pada masanya untuk mengeluarkan peringatan berkenaan nasihat tentang kuda kepang yang sudah lama wujud dan sebelum ini dikeluarkan pada 2009, berdasarkan fatwa pada 1984.

“Nasihat itu menekankan pentingnya berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam amalan budaya. Orang Islam digalakkan menghindari tindakan yang bercanggah dengan kepercayaan mereka,” kata Muis.

Seorang ustaz, yang giat mendekati kumpulan kuda kepang tetapi keberatan namanya disiarkan, berkata terdapat lima unsur yang menyebabkan beberapa amalan kuda kepang menjadi amalan yang haram.

Pertama, beliau berkata bahawa ada amalan yang bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah.

“Kuda kepang haram apabila ia melibatkan penggunaan kuasa ghaib yang diserahkan kepada seseorang,” jelas beliau. 

Selain itu, beliau mengatakan kuda kepang mempunyai unsur syirik iaitu pembacaan mantera dan melakukan jampi yang berkaitan dengan mendapatkan pertolongan daripada jin dan syaitan.

Ia juga mempunyai unsur khurafat kerana adat istiadat pemujaan menyimpang daripada ajaran Islam.

Menurut beliau juga, amalan kuda kepang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri pengamal kuda kepang.

“Ia boleh memudaratkan diri sendiri dan meragut kewarasan akal, di mana kita dapat melihat mereka dalam keadaan tidak sedar, sehingga mereka boleh melakukan aksi berbahaya seperti memijak kaca dan lain-lainnya,” kongsi beliau.

Beliau juga berkongsi ia bukan sahaja memudaratkan pengamal kuda kepang, malah penonton yang menyaksikan persembahan mereka juga.

Beliau berkata terdapat beberapa kejadian apabila penonton dikejar oleh pengamal kuda kepang yang sedang menurun. Turut membimbangkan, ada beberapa penonton ikut tersampuk.

Apa yang dikongsikan beliau selaras dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Muis sebelum ini.

“Muis ingin mengetengahkan terdapat unsur dalam persembahan (kuda kepang) ini yang tidak menyenangkan dalam Islam.

“Ini termasuk keadaan kerasukan yang membawa kepada pelaksanaan perbuatan yang menjejaskan keselamatan dan kesihatan kedua-dua pelaku dan orang awam, serta seruan roh dan jin,” kata Muis.

Apabila ditanya jika kuda kepang tidak mempunyai unsur-unsur yang dinyatakan di atas, adakah ia tetap haram, ustaz itu berkata:

“Kalau setakat 100 peratus tarian, sebagai satu adat dan budaya serta tidak menggunakan bantuan jin atau mempunyai unsur syirik, memang dibolehkan pada pendapat saya.”

Namun beliau juga mengingatkan bahawa terdapat beberapa kejadian apabila beberapa pelajar yang perlu dirawat akibat tersampuk semasa latihan kuda kepang mereka.

“Ini kerana mungkin alat peraga seperti kuda yang mereka gunakan sudah mempunyai jin dan khadamnya,” jelas beliau.

Beliau turut menasihati orang awam supaya mempertimbangkan apa yang telah dikeluarkan oleh Muis dan asatizah lain.

“Kita harus dengar nasihat asatizah kerana mereka melihat dari sudut agama.

“Kita sebagai masyarakat Islam, sepatutnya menghormati pandangan ulama kita kerana apa yang dikeluarkan bukan berdasarkan fatwa baru, ia berdasarkan fatwa dari 1984,” tambah beliau.

Muis turut menekankan kepentingan berpegang kepada prinsip Islam dalam amalan budaya.

“Muis ingin mengetengahkan terdapat unsur dalam persembahan (kuda kepang) ini yang tidak menyenangkan dalam Islam. Ini termasuk keadaan kerasukan yang membawa kepada pelaksanaan perbuatan yang menjejaskan keselamatan dan kesihatan kedua-dua pelaku dan orang awam, serta seruan roh dan jin.”
Kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg