Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: Beberapa amalan dalam persembahan kuda kepang bukan daripada Islam

Jul 3, 2024 | 5:50 PM
kuda kepang
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengeluarkan kenyataan bahawa amalan kuda kepang tidak mengikut ajaran Islam. Oleh itu, umat Islam dinasihati supaya mengelak daripada terlibat dalam amalan tersebut. - Foto fail

Persembahan kuda kepang yang biasanya melibatkan beberapa amalan bukan Islam, termasuk dirasuk dan melakukan perkara seperti mengunyah gelas serta meminum berbaldi air, bukan dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada Islam, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Menyatakan demikian menerusi satu nasihat yang dikeluarkan pada 2009 dan kemudian dikeluarkan semula pada 1 Julai di media sosial Pejabat Mufti, Muis berkata persembahan sedemikian bukan amalan dalam agama Islam.

“Sejajar dengan peranan Muis untuk membimbing masyarakat Muslim dalam kehidupan beragama mereka, Muis juga ingin tekankan elemen-elemen yang ada dalam beberapa persembahan tersebut bercanggah dengan Islam.

“Ini termasuk keadaan kerasukan yang membawa kepada persembahan yang menjejas keselamatan dan kesihatan kepada kededua mereka yang buat persembahan itu dan orang awam, dan seruan ke atas roh dan jin,” kata Muis.

Menurut nasihat itu lagi, unsur sedemikian bercanggah dengan ajaran Islam dan mesti dielakkan.

Nasihat itu menjelaskan Muis telah ditanya oleh pihak polis (Jabatan Pelesenan) dan Penguasa Pembangunan Media (MDA), yang kini dikenali sebagai Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), tentang pandangan agama mengenai persembahan kuda kepang.

Pihak Berita Harian (BH) juga mendapati beberapa video yang tular di media sosial mengenai persembahan kuda kepang di Singapura.

Kuda kepang merupakan tarian tradisional masyarakat Jawa yang dipersembahkan semasa acara seperti majlis perkahwinan Melayu atau majlis persendirian.

Penari akan ‘menunggang’ kuda boneka dan menari mengikut rentak muzik tradisional Jawa.

Menurut laman web Esplanade, boneka kuda itu bukan sekadar alat peraga semasa persembahan tersebut – ia diwarnakan dengan warna hitam, putih, merah dan kuning yang membawa makna simbolik dalam budaya Jawa, dan dilihat sebagai ruang untuk diduduki roh-roh yang dipuja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg