Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS perkukuh langkah lindungi kanak-kanak, belia di masjid
Peningkatan terhadap pemantauan aktiviti tidak rasmi di masjid, pemeriksaan CCTV, pembelajaran perlindungan diri untuk pelajar antara langkah yang diperkukuh MUIS dan pemimpin masjid
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan masjid akan memperkukuh langkah perlindungan bagi kanak-kanak dan belia di masjid serta ruang pendidikan Islam, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Ini termasuk pemantauan yang dipertingkat terhadap aktiviti bimbingan dan pengajaran tidak rasmi di masjid yang melibatkan golongan bawah umur melalui pendekatan mengenal pasti risiko.
Pemeriksaan berkala juga akan dijalankan untuk menilai dan memperkukuh liputan kamera litar tertutup (CCTV) sedia ada dari segi keterlihatan dan pencahayaan di kawasan masjid yang bersesuaian.
Pada masa yang sama, pelajar program madrasah hujung minggu di masjid, aLIVE, juga akan didedahkan kepada kurikulum pembelajaran berkaitan perlindungan diri.
Pengumuman itu menyusuli kes seorang ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan di samping 24 sebatan baru-baru ini bagi kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024, termasuk di kawasan masjid.
Semasa berucap di di acara aLIVE Service Learning CARE-nival anjuran MUIS yang berlangsung di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 29 Ogos, Encik Zaqy memberi maklumat lanjut tentang langkah yang diambil.
“Kami akan membantu anak muda memahami batasan yang sesuai, mengenal pasti apabila sesuatu perkara tidak betul, dan mengetahui tempat untuk mendapatkan bantuan — sama ada di ruang fizikal mahupun dalam talian,” kata Encik Zaqy
Di samping itu, pelajar dan ibu bapa akan didedahkan kepada infografik dan bahan pendidikan mengenai perlindungan diri.
“Melalui kurikulum ini, pelajar diajar mengenali tingkah laku yang selamat dan tidak selamat, memahami hak terhadap tubuh badan sendiri, berani berkata tidak, serta mendapatkan bantuan daripada ibu bapa atau asatizah yang dipercayai apabila mereka rasa tidak selesa,” jelas Naib Pengurus Pusat aLIVE di Masjid Al-Khair, Ustazah Siti Masykurah Md Ithinin.
Encik Zaqy berkata beliau telah meminta MUIS dan para pemimpin masjid meningkatkan langkah perlindungan sedia ada serta mengamalkan satu pendekatan perlindungan yang sama di semua masjid.
Pendekatan tersebut merangkumi penyelarasan tanggungjawab dan proses yang lebih jelas bagi mengemukakan sebarang kebimbangan, serta panduan yang lebih kukuh mengenai batasan serta interaksi yang sesuai ketika berurusan dengan kanak-kanak dan belia.
Dalam mengukuhkan masjid sebagai tempat yang selamat, Encik Zaqy berkata ia juga memerlukan penggemblengan usaha antara keluarga, asatizah, dan anak muda.
“Kami akan bekerjasama rapat dengan ibu bapa, keluarga, para asatizah serta golongan belia sendiri untuk memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak dan belia kita,” kata beliau.
Menurut Encik Zaqy, semasa lawatannya ke beberapa masjid, ibu bapa telah mengemukakan kebimbangan mereka berkenaan keselamatan di masjid sejak kes tersebut.
“Ibu bapa ingin tahu bahawa masjid kita selamat untuk anak mereka, sambil kekal sebagai tempat yang terbuka untuk ibadah, pembelajaran, dan masyarakat umum.
“Kami juga mahukan perkara yang sama,” tambahnya.
Dengan usaha untuk memperkukuhkan langkah perlindungan di masjid, beliau berharap masjid akan kekal terbuka untuk anak muda.
“Kami ingin masjid menjadi tempat anak muda berasa selesa untuk datang solat, belajar, bertemu rakan, bertanya soalan, menyumbang dan membangunkan diri mereka,” ujar Encik Zaqy.
Katanya lagi, program seperti aLIVE juga penting dalam membantu anak muda membina hubungan dengan agama, masyarakat dan masjid.
“Semoga masjid terus menjadi tempat anak muda kita belajar, menyumbang, berasa selamat dan berasa mereka sebahagian daripada masyarakat di masjid,” kata beliau.

