Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS, Persekutuan Tao perkukuh persefahaman silang agama melalui sukan
Seramai 500 peserta sertai acara Sukan Harmoni ke-16 di Our Tampines Hub
MUIS, Persekutuan Tao perkukuh persefahaman silang agama melalui sukan
Dalam satu usaha mendekati penduduk di kawasan kejiranan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persekutuan Tao Singapura telah menganjurkan Sukan Harmoni ke-16 di Our Tampines Hub pada 13 September.
Acara tersebut, yang menarik sekitar 500 peserta, memberikan mereka peluang untuk bertanding dalam beberapa sukan seperti badminton, bola keranjang, dan e-sukan.
Dengan tema, ‘Bersatu dengan Pergerakan’, acara tersebut bertujuan menyatukan peserta daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan untuk membina persahabatan, menggalakkan persefahaman antara satu sama lain dan mengukuhkan perpaduan sosial melalui sukan serta kegiatan bersama.
Sejak dilancarkan pada 2008, acara tersebut menyajikan kegiatan sukan untuk menyokong usaha dialog silang agama dan penglibatan masyarakat.
Mengulas tentang acara tersebut dalam satu kenyataan media pada 13 September, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, berkata:
“Sukan menyatukan masyarakat melalui pengalaman yang dikongsi bersama.
“Dengan bermain, bertanding dan bekerjasama antara satu sama lain dalam Sukan Harmoni, para peserta daripada pelbagai agama dan latar belakang berpeluang berkenalan dengan rakan baharu, mengenali satu sama lain dengan lebih baik serta membina kepercayaan merentasi pelbagai masyarakat kita.”
Sebagai tetamu kehormat, Encik Neo juga telah merasmikan acara berjalan pantas yang diadakan di trek larian yang terletak di bumbung Our Tampines Hub.
Acara tersebut turut dihadiri Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen, yang juga menyertai pertandingan badminton bersama peserta lain.
Peserta turut berpeluang menyertai kegiatan seperti taici dan berjalan pantas untuk memberikan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, merentasi umur dan kepercayaan, peluang bertanding dan bekerjasama.
“Saya berterima kasih kepada pemimpin agama kerana memperjuangkan dan menganjurkan acara ini, sekali gus memberi peluang kepada golongan belia kita untuk berinteraksi dan menjalinkan hubungan.
“Saya berharap semangat saling menghormati ini terus dibawa melangkaui temasya tersebut ke dalam kehidupan seharian mereka,” kata Encik Neo.
Ketua Pusat Harmoni, Encik Muhammad Nasir Johari, yang juga mewakili MUIS, turut menekankan kepentingan usaha berterusan dalam memupuk dan memelihara keharmonian kaum.
“Acara ini adalah antara usaha kami untuk memastikan keharmonian kaum di Singapura kekal tegar.
“Usaha seperti ini perlu diadakan secara konsisten kerana keharmonian kaum merupakan satu proses,” kata beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha menjaga keharmonian kaum merupakan tanggungjawab semua dan boleh dijalankan semasa kegiatan harian melalui interaksi bersama jiran tetangga seperti bertanya khabar.
Pemenang bagi setiap acara sukan turut diiktiraf semasa sesi penyampaian hadiah yang disampaikan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad, dan Naib Presiden Persekutuan Tao Singapura, Encik Terrence Lee.
Semasa ditemui Berita Harian (BH), wakil pasukan pemenang tempat ketiga bagi acara bola keranjang, Saalam Sports, Cik Haira Hairu, 27 tahun, berkata kegiatan seperti itu berkesan dalam menggalakkan interaksi dan dialog silang agama.
“Semasa acara ini, kami dapat berinteraksi dengan peserta daripada latar belakang berbeza secara tulen, dan kami tidak rasa terpaksa untuk bergaul,” kata beliau, yang juga pengasas kumpulan sukan untuk belia, Saalam Sports.
Menurut beliau, Saalam Sports merupakan satu kumpulan yang mencuba sukan baharu setiap bulan dan apabila mereka mendapat tahu tentang acara yang menggabungkan sukan dan keharmonian kaum, mereka tidak ragu-ragu untuk menyertainya.
Beliau juga berharap lebih banyak acara sedemikian dapat dijalankan agar dialog silang agama dapat terus diamalkan tanpa sebarang paksaan, demi memupuk keharmonian kaum yang tulen.
Semasa penutupan acara tersebut, bendera Sukan Harmoni turut disampaikan kepada wakil penganjur tahun depan (2027), iaitu:
- Persekutuan Buddha Singapura
- Majlis Rohani Baha’i Singapura
- Persatuan Agama Jain Singapura
- Persatuan Zoroastrian Parsi Singapura

