Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik ‘keriuhan’ politik, kisah 3 sahabat bukti perpaduan M’sia belum pudar
Pengamat: Politik identiti dikhuatiri luntur semangat perpaduan antara kaum, runtuh kepercayaan antara masyarakat dek terbelenggu rasa takut hilang kuasa, hak
Tiga nama, tiga kaum, tiga agama dan tiga budaya, namun disatukan oleh satu nilai yang dikongsi bersama – persahabatan.
Cik K. Sathiawathy, 40 tahun; Cik Nurul Ain Rasul, 36 tahun; dan Cik Tee Ling Ling, atau lebih dikenali sebagai Jessie, 53 tahun; adalah antara jutaan contoh yang mencerminkan realiti bahawa keharmonian kaum di Malaysia berada pada tahap yang baik.
Keakraban mereka terserlah menerusi akaun media sosial yang diwujudkan Cik Sathiawathy, Malaysian Life of AinWatiJess, yang menggabungkan nama mereka bertiga sebagai lambang persahabatan merentasi latar belakang Melayu, India dan Cina.
Bagi mereka, perbezaan kaum bukan sesuatu yang perlu difikirkan setiap kali bertemu.
Cik Sathiawathy, seorang wanita berbangsa India mengenali Cik Jessy sejak 37 tahun lalu, ketika mereka berjiran sejak kecil di Seremban, Negeri Sembilan.
Puluhan tahun kemudian, persahabatan itu masih kekal akrab.
Menurut Cik Sathiawathy, persahabatan beliau dengan Cik Nurul Ain pula hadir sejak lapan tahun lalu, selepas berkenalan melalui anak masing-masing yang belajar di tadika sama di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketiga-tiga mereka kemudian berkawan rapat selepas Cik Nurul Ain dan Cik Jessie datang meraikan Deepavali di kediamannya.
“Sejak itu mereka semua adalah rakan baik saya walaupun kami berbeza budaya, bangsa dan agama. Bila-bila mereka mahu makan masakan India, mereka pasti datang ke rumah saya… dan kami kongsi semuanya bersama.
“Dulu kita tak ada sosial media, jadi memang pergaulan begini terutama di kawasan kejiranan yang berbilang kaum.
“Kami saling mengunjungi rumah masing-masing, masak dan makan bersama, tanpa ada rasa kekok atau pelik,” kata Cik Sathiawathy ketika ditemui Berita Harian (BH).
Lebih menarik, tiga sahabat itu bakal menubuhkan perniagaan bersama dan melancarkan produk kopi Malaya Brew, tidak lama lagi, sebagai lambang persahabatan dan perpaduan antara kaum di Malaysia, yang bagi mereka harus dipertahankan.
Keunikan persahabatan mereka turut diterjemahkan dalam perniagaan itu apabila setiap seorang memperkenalkan produk menggunakan bahasa rasmi masing-masing, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan dalam hubungan mereka.
Bagi Cik Nurul Ain, perbezaan agama tidak pernah menjadi batas dalam persahabatan mereka, malah keakraban itu turut terjalin dalam kalangan pasangan, anak-anak serta keluarga.
“Persahabatan saya dan Kak Wati (Sathiawathy) umpama keluarga, jika saya teringin apa-apa, pantas beliau belikan atau masakkan.
“Kak Jessie pula umpama tempat meluah masalah dan penasihat.
“Walaupun berbeza agama, banyak pandangan dan nasihatnya yang membantu saya membuat keputusan penting dalam hidup. Kami memang kaya dengan kasih sayang,” katanya.
Buat Cik Jessy pula, aura persahabatan mereka bertiga amat mahal dan keunikan yang hanya ada di Malaysia.
“Saya sendiri belajar banyak perkara daripada perbezaan budaya dan bangsa kami, yang turut saya aplikasikan dalam kehidupan saya. Contohnya cara wanita Melayu dan India menghormati suami masing-masing.
“Kami juga amat suka makan. Jadi dengan persahabatan ini kami lebih mengenali keistimewaan makanan berlainan bangsa,” katanya.
Bagi tiga sahabat ini, persahabatan merentasi kaum yang mereka bina perlu diwariskan kepada anak-anak dan generasi muda, terutama ketika isu perkauman sering dijadikan modal politik sehingga boleh menjejas semangat perpaduan dalam masyarakat.
Kebimbangan mereka berasas, kerana selepas 69 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia sudah jauh berubah dari segi peningkatan ekonomi, pembangunan dan taraf hidup.
Namun, satu perkara yang dilihat masih membelenggu, mengapa politik identiti terutama kaum dan agama masih begitu kuat?
Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan yang berlalu pada 11 Julai dan 1 Ogos lalu turut dilihat meninggalkan kesan naratif perkauman, apabila kekalahan sebuah parti politik dikaitkan dengan politik identiti, yang dikatakan kerap dijadikan modal politik.
Politik identiti di Malaysia dilihat sering terbelenggu dengan rasa ketakutan hilang kuasa, hak, serta rasa gerun terhadap kaum lain.
Ia tidak hanya dilihat boleh melunturkan semangat perpaduan antara kaum, malah lebih dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan dan meruntuhkan kepercayaan antara masyarakat yang menjadi asas kepada keharmonian negara.
Melihat isu ini ketika Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-69 pada 31 Ogos, Pengarah Program dan Pengasas Bersama badan kajian bebas, Merdeka Centre, Encik Ibrahim Suffian, berpandangan hubungan kaum berada pada tahap toleransi harian yang stabil.
Namun, beliau tidak menafikan ia terus dibayangi oleh jurang struktur dan manipulasi politik berkala yang sering mencetuskan persepsi seolah-olah perpaduan Malaysia semakin merosot, terutama ketika negara semakin menghampiri Pilihan Raya Umum ke-16.
Beliau melihat politik identiti memang berakar umbi dalam struktur sejarah Malaysia, namun diperhebatkan secara drastik oleh wadah digital.
“Media sosial bertindak sebagai pembesar suara yang melariskan kandungan kontroversi kaum dan agama demi meraih tontonan tinggi.
“Malah, algoritma mewujudkan ruang maklumat yang terasing bagi pengguna (bubble atau silo), sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan berita dan maklumat yang adil serta seimbang.
“Isu kecil mudah ditularkan sehingga mewujudkan tanggapan palsu seolah-olah ketegangan etnik berada di tahap krisis nasional,” katanya kepada BH.
Peranan negatif mahupun positif media sosial ini tidak dinafikan, apabila tinjauan BH di beberapa hantaran media sosial yang berkongsi mengenai semangat perpaduan antara kaum, sering memancing tumpuan pengguna media sosial.
Sebagai contoh, sebuah video dikongsikan pengguna TikTok Iskandar Adi Putra yang memaparkan seorang wanita berbangsa Cina membantu seorang wanita Melayu bertongkat melintas jalan, sebelum seorang lagi wanita India turut menghulurkan bantuan, meraih komen positif mengenai perpaduan daripada warga siber, tetapi menolak politik yang menjarakkan perpaduan.
Antara komen warga siber pada hantaran bertarikh 8 Mei lalu itu:
“Tiada politik, rakyat OK saja bersama, aman damai”, tulis @mohd aidiel_606; Kita semua harmoni je sebenarnya, politik yang memisahkan kita semua satu Malaysia,” tulis @Axxcap; “Tidak mengapa jika kita hilang harapan terhadap ahli politik, namun, mengapa kita perlu hilang harapan terhadap satu sama lain?,” tulis @zms.
Bagi menyokong pandangannya mengenai perpaduan dan politik identiti, Encik Ibrahim berkata Kajian Belia Kebangsaan Merdeka Center pada 2024 mendedahkan wujudnya perbezaan ketara dalam tahap kepercayaan antara etnik di Malaysia.
“Majoriti responden Melayu menunjukkan tahap kepercayaan yang lebih rendah terhadap kaum lain berbanding kaum minoriti.
“Golongan luar bandar dan kumpulan konservatif Melayu-Islam kekal sebagai kelompok utama yang dikuasai naratif politik identiti,” katanya.
Menurutnya, retorik perkauman menawarkan cara paling pantas untuk membakar semangat dan menggerakkan sokongan pengundi dan penyokong politik tegar.
“Eksploitasi rasa takut terhadap kehilangan kedudukan istimewa atau agama rasmi berjaya membangkitkan solidariti kelompok secara kolektif,” katanya.
Namun lebih jauh daripada itu, Encik Ibrahim bersetuju bahawa gambaran politik seolah-olah Malaysia sentiasa berpecah belah dan bermusuhan tegar, tidak selari dengan realiti kehidupan harian rakyat.
“Di gerai makan, tempat kerja, dan komuniti tempatan, rakyat biasa saling membantu tanpa mengira garis etnik demi kelangsungan hidup.
“Ketegangan kaum sebenarnya lebih merupakan produk persaingan elit politik berbanding masalah sebenar di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Encik Ibrahim tidak menolak pengasingan di peringkat sekolah harian dengan wujudnya sekolah jenis kebangsaan, selain kawasan perumahan tertentu mengekang pembentukan persefahaman tulen antara kaum.
“Namun, interaksi antara kaum yang baik di universiti awam dan swasta serta tempat kerja terbukti berkesan meruntuhkan prasangka serta membina empati rentas etnik,” tambahnya.
Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shazwan Mokhtar, pula berkata Malaysia mewarisi hubungan kaum yang erat dan boleh menghormati antara satu sama lain yang dipupuk oleh pemimpin terdahulu.
Bagaimanapun, cabaran untuk mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia adalah satu hakikat yang tidak boleh dipandang sepi.
Beliau melihat kecelikan politik dan kefahaman kenegaraan Malaysia perlu ditingkatkan pada semua peringkat, supaya isu kaum dan agama tidak terus dijadikan modal politik sesetengah pihak.
“Kedudukan hak Istimewa Melayu dan Islam misalnya telah dilindungi dalam Perlembagaan.
“Perkara seumpama ini tidak seharusnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak, tanpa memahami sejarahnya. Ia harus dihormati dan diterima sebagai sebahagian daripada komponen penting negara Malaysia.
“Saya juga berpandangan, kemungkinan hasrat atau sudut pandang masyarakat pada peringkat akar umbi masih belum cukup difahami oleh pihak berkepentingan,” katanya kepada BH, sambil mengakui politik identiti masih menjadi teras politik di Malaysia.
Menurut beliau pemahaman mengenai sejarah perpaduan kaum di Malaysia merupakan ubat yang mustajab dalam menyelesaikan isu atau polemik yang berlaku pada hari ini sehingga menggugat perpaduan kaum.
“Misalnya, konsep kontrak sosial yang sering digunakan untuk menggambarkan kerjasama kaum ketika menuntut kemerdekaan. Hakikatnya, sehingga hari ini tiada bukti sejarah wujudkan dokumen kontrak ini.
“Namun, usaha perpaduan kaum wujud dalam Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) yang ditubuhkan pada 1949. Menjadi asas kepada usaha perpaduan kaum dan menyelesaikan isu pertikaian antara kaum.
“Perkembangan ini kemudiannya, dimaktubkan dalam Perlembagaan negara yang mana sehingga hari ini tetap terpelihara,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kurikulum sejarah sekolah mengutamakan sudut pandang tempatan serta naratif penting pada masa lampau yang membentuk Malaysia hari ini.
“Naratif ini disulami dengan nilai patrotik dan perpaduan. Pendidikan ini penting bagi membina peribadi murid yang berjiwa Malaysia dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama,” katanya.
Dr Mohd Shazwan berkata jika Malaysia mahu beralih daripada politik identiti, setiap pihak harus menunjukkan dan menyakinkan masyarakat bahawa setiap hak yang termaktub dalam undang-undang mahupun Perlembagaan kekal dihormati dan dipelihara.
“Jika isu politik ingin diketengahkan, harus difikirkan bagaimana kebimbangan ekonomi, gaji, pendidikan dan pekerjaan pada sudut pandang rakyat benar-benar difahami.
“Kita bukan sahaja memerlukan pengundi yang mempunyai literasi atau pengetahuan politik yang baik, tetapi pemimpin yang menunjukkan teladan yang baik,” tambahnya.
Mewakili generasi muda, Mohammad Haikal Hasri, 18 tahun, melihat perpaduan kaum di Malaysia adalah anugerah yang perlu dipelihara dan beliau mengakui bimbang melihat isu perkauman membuka ruang pertelingkahan antara kaum.
Beliau yang mempunyai sahabat karib sebaya berbangsa Cina, Lee Chow; dan N Nyann berbangsa India, tidak mahu keakraban yang dijalin sejak kecil musnah akibat kerakusan pihak lain untuk berkuasa.
“Bagi saya perbezaan bukan penghalang untuk kita berkawan baik sesama kaum, sebaliknya banyak perkara baru dapat kita pelajari daripada budaya lain.
“Saya sendiri amat menyayangi teman baik berbangsa India dan Cina.
“Kami berkawan sejak sekolah rendah, keluarga kami juga rapat, semuanya kami lakukan bersama dan tidak pernah bergaduh.
“Justeru sebagai anak muda, tentunya perpaduan yang diperoleh dengan darah perjuangan oleh pemimpin terdahulu, harus terus dipelihara,” katanya kepada BH.
“
“Persahabatan saya dan Kak Wati (Cik K. Sathiawathy) umpama keluarga, jika saya teringin apa-apa, pantas beliau belikan atau masakkan. Kak Jessie (Cik Tee Ling Ling) pula umpama tempat meluah masalah dan penasihat. Walaupun berbeza agama, banyak pandangan dan nasihatnya yang membantu saya membuat keputusan penting dalam hidup. Kami memang kaya dengan kasih sayang.”“
“Bagi saya perbezaan bukan penghalang untuk kita berkawan baik sesama kaum, sebaliknya banyak perkara baru dapat kita pelajari daripada budaya lain. Saya sendiri amat menyayangi teman baik berbangsa India dan Cina. Kami berkawan sejak sekolah rendah, keluarga kami juga rapat, semuanya kami lakukan bersama dan tidak pernah bergaduh. Justeru sebagai anak muda, tentunya perpaduan yang diperoleh dengan darah perjuangan oleh pemimpin terdahulu, harus terus dipelihara.”“
“Media sosial bertindak sebagai pembesar suara yang melariskan kandungan kontroversi kaum dan agama demi meraih tontonan tinggi. Malah, algoritma mewujudkan ruang maklumat yang terasing bagi pengguna (bubble atau silo), sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan berita dan maklumat yang adil serta seimbang. Isu kecil mudah ditularkan sehingga mewujudkan tanggapan palsu seolah-olah ketegangan etnik berada di tahap krisis nasional.”