Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis, Warees bina apartmen servis di tanah wakaf Chinatown

Jamae Chulia Heritage bakal tempatkan 90 khidmat kediaman; dijangka jana pendapatan tambahan untuk pemeliharaan penerima wakaf
May 24, 2024 | 8:10 PM
(Dari kiri) Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rasha; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; Presiden Muis, Encik Sa’at Abdul Rahman; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah, Warees Investments, Encik Abdul Razak Hassan Maricar; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Warees Investments, Encik Masagoes Isyak Amin; dan CEO The Ascott Limited, Encik Kevin Goh, di majlis pecah tanah bagi pembangunan Jamae Chulia Heritage pada 24 Mei.
(Dari kiri) Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rasha; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen; Presiden Muis, Encik Sa’at Abdul Rahman; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengarah, Warees Investments, Encik Abdul Razak Hassan Maricar; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Warees Investments, Encik Masagoes Isyak Amin; dan CEO The Ascott Limited, Encik Kevin Goh, di majlis pecah tanah bagi pembangunan Jamae Chulia Heritage pada 24 Mei. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sebuah bangunan pelbagai kegunaan baru bakal dibangunkan di kawasan Chinatown menjelang pertengahan 2026.

Bangunan Jamae Chulia Heritage seluas 3,394 meter persegi itu akan menempatkan 90 khidmat kediaman atau apartment service selain ruang sosial dan komersial.

Pembangunan bersepadu itu merupakan hasil usaha sama antara WJC Heritage, sebuah anak syarikat Warees Investments, dan Wakaf yang diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Projek ini bertujuan mengimbangi keperluan moden dengan intipati budaya dan sejarah kawasan tersebut.

Terletak secara strategik di persimpangan Masjid Street dan Pagoda Street, Jamae Chulia Heritage bakal dibangunkan di atas sebuah tanah Wakaf Jamae Chulia.

Semasa berucap di majlis pecah tanah projek tersebut, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menekankan kepentingan pembangunan itu dengan menyatakan bahawa ia lebih daripada sekadar sebuah bangunan dan merupakan satu penghormatan kepada sumbangan masyarakat India Muslim kepada Singapura sejak 1800-an.

“Sebagai tanah wakaf kosong terakhir di Singapura yang akan dibangunkan, Jamae Chulia Heritage berdiri sebagai bukti keupayaan masyarakat India Muslim untuk bekerjasama, menggunakan pembiayaan inovatif dan perkongsian dengan wakaf lain untuk mencipta pembangunan ikonik ini,” katanya.

Encik Masagos turut menekankan pentingnya memajukan legasi wakaf yang berusia 200 tahun itu selaras dengan tema Menjamin Wakaf Kita untuk Masa Depan Perkongsian Kita, bagi memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Wakaf kekal sebagai institusi utama masyarakat Islam. Ia mencerminkan usaha dermawan dan dedikasi kita untuk memajukan masyarakat. 

“Penubuhan dan sokongan untuk wakaf telah bertahan dalam ujian masa disebabkan rasa tanggungjawab sosial dan kewarganegaraan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat kita,” tambahnya.

Jamae Chulia Heritage merupakan projek keempat di bawah Skim Peningkatan Wakaf (WRS) oleh Muis and Warees Investments.

Lakaran bangunan Jamae Chulia Heritage yang menghadap Mosque Street. Pembinaan projek ini akan bermula pada Julai 2024 dan dijangka mengambil masa 24 bulan. 
Lakaran bangunan Jamae Chulia Heritage yang menghadap Mosque Street. Pembinaan projek ini akan bermula pada Julai 2024 dan dijangka mengambil masa 24 bulan.  - Foto THE ASCOTT LIMITED

Dengan jumlah kos pembangunan dianggarkan sebanyak $30 juta di bawah WRS, projek Jamae Chulia Heritage itu akan memberi nafas baru kepada empat rumah kedai sebelum perang dan termasuk bangunan tambahan baru.

Pembinaan projek itu akan bermula pada Julai 2024 dan dijangka berlangsung selama 24 bulan. 

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan tindakan strategik yang lebih luas untuk meningkatkan nilai aset wakaf di Singapura.

Ia juga dijangka menjana pendapatan tambahan untuk pemeliharaan penerima wakaf, termasuk tiga bangunan penting: Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Abrar, dan Nagore Dargah.

Sejak dua tahun lalu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah bertemu dengan pemimpin masyarakat India Muslim untuk mendapatkan pandangan dan memberikan perkembangan mengenai projek pembangunan itu. 

Sesi pertemuan itu telah menawarkan pandangan berharga tentang kebimbangan masyarakat India Muslim dan akan terus menyokong aspirasi mereka. 

Berkongsi tentang pertemuan ini, Dr Faishal, yang turut hadir di majlis pecah tanah itu, berkata: “Saya rasa gembira dan terharu melihat semangat para pemimpin masyarakat India Muslim untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat di Singapura. 

“Mereka telah memberi pandangan yang terbuka dan membangun untuk membangunkan aset masyarakat mereka termasuk memberikan nama Jamae Chulia Heritage itu sendiri.”

Majlis pecah tanah itu juga menandakan pemeteraian perjanjian dengan The Ascott Limited untuk menguruskan kediaman servis itu, yang akan beroperasi di bawah jenama lyf (akronim untuk live your freedom) Chinatown.

 Ketua Pegawai Strategi dan Pengarah Urusan Asia Tenggara, The Ascott Limited, Cik Wong Kar Ling (duduk, kiri); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Warees Investments, Encik Masagoes Isyak Amin (duduk, kanan), menandatangani perjanjian pengurusan antara WJC Heritage dan Ascott International Management, sambil disaksikan CEO The Ascott Limited, Encik Kevin Goh (diri, kiri); dan Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Investments, Encik Abdul Razak Hassan Maricar. 
Ketua Pegawai Strategi dan Pengarah Urusan Asia Tenggara, The Ascott Limited, Cik Wong Kar Ling (duduk, kiri); dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Warees Investments, Encik Masagoes Isyak Amin (duduk, kanan), menandatangani perjanjian pengurusan antara WJC Heritage dan Ascott International Management, sambil disaksikan CEO The Ascott Limited, Encik Kevin Goh (diri, kiri); dan Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Investments, Encik Abdul Razak Hassan Maricar.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ini merupakan perkongsian strategik kedua antara Warees Investments, The Ascott Limited, dengan Somerset Bencoolen – yang menempatkan 107 unit kediaman servis dan Masjid Bencoolen yang boleh memuatkan kira-kira 1,300 jemaah – menjadi projek kerjasama pertama.

Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Investments, Encik Abdul Razak Hassan Maricar, berkata perkongsian strategik mereka telah diperkukuh lagi sepanjang tahun dan kerjasama itu akan kekal sehingga ke masa hadapan. 

“Ascott bersama dengan arkitek dan pereka dalaman kami berkongsi visi kami untuk pembangunan ini dengan ruang itu akan dibangunkan untuk bukan sahaja berdaya maju secara komersial bahkan juga ruang yang reka bentuknya menceritakan kisah melalui seni bina dan sejarah, khususnya untuk masyarakat India Muslim,” ujarnya.

Bersependapat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Ascott Limited, Encik Kevin Goh, pula mengalu-alukan kerjasama untuk membangunkan Jamae Chulia Heritage di tengah-tengah kawasan yang penuh dengan sejarah dan budaya.

Beliau berkata: “Melalui perkongsian ini saya rasa kita tahu bagaimana untuk mencipta penyelesaian yang mampu diraih kedua-dua pihak. Kami telah bekerja keras, membangunkan konsep, reka bentuk dan kami sangat yakin bahawa kami akan dapat menghasilkan produk yang sangat bagus daripada projek ini.”

Sebagai tanah wakaf kosong terakhir di Singapura yang akan dibangunkan, Jamae Chulia Heritage berdiri sebagai bukti keupayaan masyarakat India Muslim untuk bekerjasama, menggunakan pembiayaan inovatif dan perkongsian dengan wakaf lain untuk mencipta pembangunan ikonik ini.
 Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg