Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muka baru PAP, Goh Pei Ming, manfaat kerja sukarela, pengalaman tentera dalam politik

Apr 18, 2025 | 8:41 PM
Konsep perkhidmatan awam sudah tidak asing lagi bagi Encik Goh Pei Ming, baik sebagai anggota tentera mahupun sukarelawan akar umbi.
Konsep perkhidmatan awam sudah tidak asing lagi bagi Encik Goh Pei Ming, baik sebagai anggota tentera mahupun sukarelawan akar umbi. - Foto ST

Muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Goh Pei Ming, percaya pengalamannya bertugas bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan jawatan Brigedier-Jeneral (BG) dan berkhidmat kepada masyarakat memberi perspektif berharga untuk menyumbang dalam dunia politik. 

Dalam tempoh tujuh bulan bertugas di Kandahar, Afghanistan, pada 2010, beliau mengharungi serangan roket yang berterusan, memikirkan tentang makna kehidupan dan pentingnya keluarga. 

Pengalaman itu mengajar beliau untuk tidak mengambil keluarga dan keselamatan negara secara mudah, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai pegawai Singapura yang ditugaskan untuk bersama pasukan Amerika Syarikat, beliau mempelajari pentingnya pertahanan negara. 

Beliau juga menyedari bahawa keadaan seperti di Afghanistan, yang suatu ketika dahulu sebuah negara yang berkembang, boleh berlaku di mana-mana jika pentadbiran dan politik negara gagal dijalankan dengan baik.

Selain pengalamannya di tentera, Encik Goh juga mempunyai latar belakang yang kukuh dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Beliau menjadi sukarelawan pada usia 24 tahun selepas Anggota Parlimen (AP), Encik Lee Yi Shyan, melawat rumahnya di Bedok North dan mengajak beliau menawar bakti.

Encik Goh juga aktif menjadi sukarelawan di Kampong Chai Chee sejak usia muda dan menyatakan bahawa khidmat masyarakat adalah sebahagian identiti dirinya. 

Pengaruh keluarganya, terutama ibu yang menekankan kepentingan pendidikan dan menyumbang semula kepada masyarakat, turut membentuk beliau.

Sebagai seorang pegawai tentera, beliau melibatkan diri dalam pendidikan dan memberi bimbingan kepada anak didiknya yang kurang bernasib baik. 

Pengalamannya sebagai komander platun dan akhirnya sebagai Ketua Staf Tentera bersama tiga cabang tentera memberi beliau kelebihan dalam memahami cara untuk menghubungkan masyarakat dengan tentera.

Keputusan beliau untuk meninggalkan kerjaya tentera yang stabil dan beralih ke politik bukanlah mudah. Dengan tiga anak dan isteri yang turut berkorban sepanjang kerjayanya, Encik Goh menyedari cabaran yang datang dengan keputusan ini. 

Walaupun belum pasti sama ada beliau akan bertanding di GRC East Coast, beliau menghargai peluang untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat.

“Tidak kira di mana saya bertanding, saya akan lakukan yang terbaik. Pengalaman saya dalam kerja-kerja kemasyarakatan akan terus bersama saya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg