Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan ketua AIC dilihat bersama AP GRC East Coast

Apr 1, 2025 | 3:01 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (depan), bergambar bersama AP GRC East Coast, yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (barisan belakang, tiga dari kiri); Cik Jessica Tan (empat dari kiri); Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (lima dari kiri); Menteri Negara Kanan, Encik Tan Kiat How (tujuh dari kiri), serta bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Dinesh Vasu Dash (barisan depan, dua dari kiri) dan Cik Hazlina Abdul Halim (bertudung), serta jemaah Masjid Al-Ansar di Bedok, pada 31 Mac.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (depan), bergambar bersama AP GRC East Coast, yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (barisan belakang, tiga dari kiri); Cik Jessica Tan (empat dari kiri); Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman (lima dari kiri); Menteri Negara Kanan, Encik Tan Kiat How (tujuh dari kiri), serta bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Dinesh Vasu Dash (barisan depan, dua dari kiri) dan Cik Hazlina Abdul Halim (bertudung), serta jemaah Masjid Al-Ansar di Bedok, pada 31 Mac. - Foto ST

Mantan penjawat awam yang baru meletak jawatan, Encik Dinesh Vasu Dash, mengiringi Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast dalam lawatan ke Masjid Al-Ansar di Bedok pada pagi 31 Mac sempena solat Hari Raya Aidilfitri.

Encik Dinesh, 50 tahun, yang menamatkan tugasnya sebagai ketua Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) pada 27 Mac, merupakan mantan penjawat awam pertama yang dilihat turun padang bersama AP Parti Tindakan Rakyat (PAP), menyusuli beberapa siri peletakan jawatan dalam pemerintah baru-baru ini.

Encik Dinesh dilihat memasuki Masjid Al-Ansar, mengiringi Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat, serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Lawatan ini dilakukan di tengah-tengah spekulasi bahawa beliau telah menyertai pasukan PAP dan akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), lapor The Straits Times (ST).

Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun, mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), turut dilihat mengiringi kumpulan itu.

Beliau yang kini Naib Presiden Kanan di Teneo, sebuah syarikat perundingan, sebelum ini pernah dilihat mengiringi AP MacPherson, Cik Tin Pei Ling, dan diperkenalkan secara rasmi kepada penduduk serta wartawan dalam lawatan di GRC Marine Parade pada 22 Mac.

AP GRC East Coast lain, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, dan Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan, turut hadir dalam lawatan ke Masjid Al-Ansar.

Dua lagi AP GRC East Coast, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, telah tiba di masjid lebih awal secara berasingan, manakala Cik Cheryl Chan, tidak dapat menyertai kumpulan itu kerana sedang melakukan lawatan kerja.

Bercakap kepada ST selepas lawatan itu, Encik Tong berkata Encik Dinesh dan Cik Hazlina sedang “memahami masyarakat dengan lebih mendalam serta peranan dalam bekerjasama dan berkhidmat untuk mereka”.

Mereka juga sedang membina hubungan, mengenali penduduk, serta bekerjasama dengan AP sedia ada, untuk melihat cara berkhidmat kepada rakyat, tambahnya.

“Saya rasa mereka menunjukkan kemajuan yang sangat baik dalam hal ini,” ujar Encik Tong.

DPM Heng berkata kededua Encik Dinesh dan Cik Hazlina dapat memberi banyak sumbangan kepada Singapura, sambil berkongsi tentang kerja Encik Dinesh bersama Kementerian Kesihatan (MOH) semasa pandemik Covid-19.

“Kami sangat gembira kerana mereka turun padang bagi mempelajari lebih mendalam mengenai East Coast,” katanya.

Apabila ditanya tentang Cik Hazlina yang dilihat di Marine Parade pada 22 Mac, DPM Heng berkata: “Bukankah baik beliau dapat mengenali lebih banyak kawasan di Singapura?

“Ini adalah sebahagian pendedahan untuk semua bakal calon, agar mereka dapat mengenali masyarakat kita dengan lebih baik.”

Kededua menteri berkata mereka disambut dengan mesra oleh ahli jawatankuasa dan jemaah masjid pada pagi Aidilfitri.

Encik Tong, yang merupakan AP GRC Marine Parade, menjaga kawasan Joo Chiat yang telah dipindahkan ke GRC East Coast, menyusuli perubahan dalam laporan sempadan bagi GE2025.

Encik Dinesh merupakan pegawai kanan terbaru yang meletak jawatan dari sektor pemerintah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Tiga penjawat awam kanan lain turut meletak jawatan pada 25 Mac.

PAP secara tradisi sering mencari calon pilihan raya dalam perkhidmatan awam, dengan mereka yang terpilih biasanya meletak jawatan menjelang pilihan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg