Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muka baru PAP, Valerie Lee sertai 5 AP di acara Pasir Ris

Mar 22, 2025 | 4:57 PM
(Dari kiri) Cik Valerie Lee, Encik Sharael Taha, Cik Yeo Wan Ling, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, Cik Sun Xueling, dan Encik Desmond Tan, bergambar di pameran kerjaya Pasir Ris-Punggol 2025 di D’Marquee, Downtown East, pada 22 Mac.
(Dari kiri) Cik Valerie Lee, Encik Sharael Taha, Cik Yeo Wan Ling, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, Cik Sun Xueling, dan Encik Desmond Tan, bergambar di pameran kerjaya Pasir Ris-Punggol 2025 di D’Marquee, Downtown East, pada 22 Mac. - Foto ST

Seorang lagi muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Valerie Lee Nai Yi, ditemui di pameran kerjaya di Downtown East pada 22 Mac, mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin disertakan dalam senarai calon parti pemerintah bagi GRC Pasir Ris-Changi yang baru.

Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Desmond Tan, yang mengetuai kawasan undi Pasir Ris Central, ketika ditemui di pameran kerjaya Pasir Ris-Punggol, menyatakan Cik Lee berada di sana atas jemputan pasukan itu.

Menurut The Straits Times, Encik Tan berkata komposisi muktamad pasukan itu akan bergantung kepada keputusan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Namun, beliau menambah:

“Anda boleh membuat pengiraan. Terdapat tiga daripada kami kini dalam (GRC Pasir Ris-Changi baru) dan ia akan menjadi GRC empat orang. Sememangnya kami akan mempunyai satu muka baru, calon baru, menyertai kami.”

Cik Lee, ketua hal ehwal korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, sebelum ini pernah dilihat di GRC West Coast dan GRC East Coast.

Pada 22 Mac, beliau secara aktif diperkenalkan kepada penduduk oleh Anggota Parlimen (AP) yang ada sekarang dan sering dilihat bergambar di sebelah Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.

Beliau enggan mengulas pertanyaan media dan hanya berkata: “Saya gembira berada di sini.”

Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya pada 11 Mac memutuskan untuk memecahkan bekas GRC Pasir Ris-Punggol kepada dua, membentuk GRC Punggol dan GRC Pasir Ris-Changi.

Ini menyaksikan kawasan undi Encik Teo, Encik Sharael Taha dan Encik Tan dalam GRC Pasir Ris-Changi yang baru mempunyai empat orang.

Kawasan undi AP lain yang ada sekarang – Menteri Negara Kanan, Encik Janil Puthucheary ,dan Cik Yeo Wan Ling – terletak di bawah GRC Punggol yang baru, yang akan turut termasuk AP Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol West Menteri Negara, Cik Sun Xueling.

Pada pilihan raya lalu, GRC Pasir Ris-Punggol menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PAP, Perikatan Demokratik Singapura dan Suara Rakyat (PV). PAP menang dengan 64.15 peratus undi, manakala PV kehilangan depositnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg