Tiga muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang kelihatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini mungkin telah dipindahkan ke kawasan pilihan raya yang berbeza.
Mereka adalah Cik Chua Wei-Shan, seorang usahawan; Cik Valerie Lee Nai Yi, ketua hal ehwal korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara; dan Encik David Hoe, ketua filantropi di The Majurity Trust, sebuah badan amal berdaftar.
Mereka masing-masing dijangka bertanding di GRC Chua Chu Kang, East Coast, dan Tampines, jika dicalonkan.
Cik Chua adalah setiausaha penganjur PAP Muda (Young PAP) dan pemangku pengerusi cawangan West Coast selepas mantan menteri pengangkutan, S. Iswaran meletak jawatan, lapor The Straits Times (ST).
Namun, baru-baru ini, beliau dilihat di acara di Chua Chu Kang GRC.
Pada 9 Mac, beliau hadir di pelancaran inisiatif makanan percuma untuk penduduk berpendapatan rendah.
Acara itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Cik Low Yen Ling yang juga Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan).
Cik Chua berkata beliau sudah terlibat sebagai ahli akar umbi lebih dari 20 tahun.
Cik Lee pula dilihat berpindah dari GRC West Coast ke timur Singapura, selepas aktif di kawasan Ayer Rajah-Gek Poh.
Pada 14 Mac, beliau berkongsi gambar bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong di acara berbuka puasa di Masjid Kassim.
Seminggu sebelum itu, beliau turut hadir di dialog PAP Joo Chiat sempena Hari Wanita Antarabangsa.
Encik Tong dijangka bertanding di GRC East Coast selepas sempadan pilihan raya diubah pada 11 Mac.
Encik Hoe pula dilihat di Tampines. Pada Jun 2024, beliau dilihat bersama Cik Denise Phua di GRC Jalan Besar.
Pada Februari, beliau bergambar dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli di pembukaan pusat Rangkaian Penduduk Tampines GreenVerge.
Pada 15 Mac, beliau hadir di acara di GRC Tampines yang melancarkan bantuan untuk meringankan kos sara hidup, termasuk baucar dalam talian disubsidi dan kredit Shopee $60 untuk isi rumah dengan kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) biru.
Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines hadir bersama penasihat akar umbi, Cik Charlene Chen dan calon baru, Encik Gabriel Lam.
Perubahan dijangka berlaku kerana lebih ramai calon berpotensi aktif berbanding tempat yang tersedia.
Profesor Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan mengatakan, dengan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac, parti-parti perlu tentukan calon mereka dengan segera.
Pilihan raya umum dijangka diadakan sebelum November 2025, mungkin pada pertengahan tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg