Topik diikuti
Pergi ke BHkuMula kenal dunia melalui teknologi, kini ‘bayi Covid’ siap langkah ke ‘Big School’
Di sebalik sekatan pandemik, pengalaman bermain sendiri jadikan si anak lebih berdikari
Mula kenal dunia melalui teknologi, kini ‘bayi Covid’ siap langkah ke ‘Big School’
Big school atau ‘sekolah besar’ merupakan gelaran yang diberikan Nur Madinah Muhammad Hasri, enam tahun, bagi sekolah rendah yang bakal dimasukinya pada 2027.
Semakin hampir masanya untuk melangkah ke Sekolah Rendah Fengshan, semakin banyak soalan yang diajukan Madinah kepada ibu bapanya.
“Lawatan yang dianjurkan prasekolahnya ke sebuah sekolah rendah berdekatan baru-baru ini membuatkan Madinah semakin teruja untuk memasuki Darjah Satu,” kongsi ibunya, Cik Julaiha Ameer Hamza, 35 tahun, yang bekerja sebagai pegawai kanan khidmat pesakit.
Suaminya berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Sepanjang tahun pertama kehidupannya, Madinah tidak berpeluang bertemu datuk dan neneknya secara bersemuka.
Sebaliknya, skrin telefon menjadi penghubung apabila panggilan video digunakan untuk memperkenalkan Madinah kepada anggota keluarga di tengah-tengah sekatan Covid-19.
Sebagai ibu kali pertama, pengalaman tersebut turut mencabar bagi Cik Julaiha.
“Memang agak besar cabarannya kerana perlu menguruskan bayi yang baru lahir tanpa banyak bantuan di rumah.
“Kami pun tak tahu apa yang hendak dijangkakan sebab sekatan ketika itu sering berubah,” katanya.
Hanya pada tahun kedua, apabila sekatan mula dilonggarkan, saudara-mara dan rakan-rakan dapat berkunjung dalam kumpulan kecil.
Meskipun banyak menghabiskan masa di rumah dan kurang berinteraksi dengan orang luar, Madinah tetap membesar sebagai seorang yang ceria dan mudah mesra.
Cik Julaiha turut melihat satu sisi positif daripada pengalaman tersebut – anaknya belajar bermain sendiri, menjadi lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapanya.
Dalam tempoh Madinah banyak berada di rumah, teknologi turut menjadi antara cara ibu bapanya memperkenalkan dunia luar kepadanya.
“Selain panggilan video dengan keluarga, kami juga dedahkan dia kepada dunia luar menerusi televisyen dan media sosial, tetapi semuanya dengan pemantauan.
“Kami hadkan masa skrin kepada sekitar dua jam sehari, dengan selang masa sekitar 30 minit. Bila kami keluar dan dia nampak sesuatu yang pernah dilihat dalam talian, dia boleh ingat dan kaitkan dengan apa yang pernah pelajarinya,” kata Cik Julaiha.
Kini, Madinah tidak mempunyai masalah bergaul dengan orang lain dan seorang yang ceria serta mudah bersosial.
Menjelang Darjah Satu, tumpuan keluarga itu bukan sahaja kepada akademik, malah memastikan Madinah bersedia dari segi emosi dan kemahiran berdikari.
“Kami bimbing dia cara mengemas beg sekolah sendiri, membeli makanan dan menggunakan perkataan seperti ‘tolong’ dan ‘terima kasih’.
“Kami juga sedang ajar dia mengira wang. Bahagian itu masih agak mencabar sebab dia belum begitu biasa dengan duit,” katanya.
Persediaan akademik pula dilakukan secara perlahan-lahan di rumah.
“Setiap hujung minggu, kami akan membaca bersama. Kami juga mula memperkenalkan ejaan perkataan mudah dan asas Matematik sedikit demi sedikit,” katanya.
Lawatan ke sebuah sekolah rendah membuatkan anaknya semakin tidak sabar untuk memasuki Big School.
Beliau senang hati melihat keterujaan Madinah.
“Alhamdulillah, enam tahun sudah berlalu dan kami sangat bersyukur.
“Bagi saya, semua ‘bayi Covid’ adalah pejuang. Mereka berjaya melalui tempoh Covid dan sekarang sudah bersedia untuk menghadapi Darjah Satu,” katanya.
