Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Mula sekadar hobi, kini sasar pingat emas Sukan Paralimpik 2026

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mula sekadar hobi, kini sasar pingat emas Sukan Paralimpik 2026

Suka ‘main air’ sejak berusia tiga tahun, Moza Alyka Baihakki ingin ceburi sukan renang secara kompetitif
Apr 10, 2024 | 05:31 AM



Sesi ‘main air’ di kolam renang bersama datuk semasa berusia tiga tahun merupakan titik permulaannya dalam sukan renang.

Dari situ, si cilik ini mula mempelajari kuak renang berbeza, langsung mencetus minat mendalam terhadap sukan itu yang kemudian diteruskan sebagai hobi, meskipun sedar akan kekurangannya berbanding perenang lain.

Lebih 10 tahun kemudian, hobi tersebut menjadi pemangkin ke arah membentuk matlamat dan impian lebih besar bagi Moza Alyka Baihakki – mewakili negara dan membawa pulang pingat emas dalam temasya Sukan Paralimpik.

Semangat untuk mencapai impiannya itu semakin membara baru-baru ini, sejak dia mengecapi kejayaan merangkul pingat emas dalam acara renang secara kompetitif.

Moza, yang akan mencecah usia 13 tahun dalam beberapa hari lagi, berjaya meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Renang Para Rentas Sekolah – yang merupakan sebahagian daripada kejohanan nasional – pada 23 Mac.

Lebih membanggakan lagi, anak bekas bintang bola sepak nasional, Baihakki Khaizan, dan selebriti tempatan dan usahawan Norfasarie Mohd Yahya itu berjaya mengatasi rekod negara bagi acara kuak dada wanita 50 meter SB9.

Moza mencatatkan masa 1 minit 00.8 saat di Pusat Akuatik OCBC, memecah rekod yang dicatatkan perenang Janelle Tong, 1 minit 4.92 saat pada 2020. Dia turut menjuarai acara kuak lentang dan gaya bebas 50 meter.

Menurutnya, ini merupakan “antara pencapaian paling besar dalam hidup” sejauh ini.

“Matlamat saya sekarang adalah untuk berlatih dan mewakili negara dalam sukan renang para,” ujarnya yang kini meletakkan sasaran untuk menyertai Sukan Paralimpik 2026 seperti idolanya, ratu renang para negara, Yip Pin Xiu.

Ibu bapanya akur penyertaan dalam sukan renang secara serius itu di luar jangkaan, namun berikrar untuk menyokongnya sepanjang perjalanan tersebut.

Puteri mereka itu dilahirkan sebelah tangan tidak terbentuk sempurna disebabkan Amniotic Band Syndrome yang menjejas pertumbuhan tangannya.


“Pada mulanya saya fikir penglibatannya dalam sukan renang ini sekadar untuk bersenam, kekal aktif.

“Tapi tak sangka ia sampai tahap lebih serius, dan ini membuat saya merenung kembali dan menimbulkan kesedaran bahawa apa-apa sahaja boleh berlaku dalam kehidupan seseorang itu pada bila-bila masa,” ujar Baihakki.

Tambahnya, penglibatan Moza dalam sukan renang secara kompetitif itu turut membantunya mengatasi kekurangan yang dirasakan dan menambah keyakinan diri.

Namun, menceburi sukan secara kompetitif merupakan perjalanan yang penuh liku, akur Baihakki.

“Untuk bertanding secara serius melibatkan tahap fokus yang berbeza, dan perjalanannya bukan mudah.

“Saya pernah melalui perjalanan itu dan saya sedar akan apa tuntutannya dan apa yang anak saya bakal alami.

“Berdasarkan pengalaman itu saya akan melakar laluan itu baginya dan membimbingnya selagi beliau ingin menceburi sukan ini,” kata Baihakki.

Turut bangga dengan pencapaian anaknya itu, Norfasarie akur tidak menjangkakan penglibatan Moza dalam sukan itu akan menjadi lebih serius.

“Selepas dia menang, kami pulang dan saya dan suami duduk berbual dengannya, tanyakan kepada beliau sama ada ini betul-betul sesuatu yang diinginkannya.

“Sebagai ibu bapa, memang kita tak akan pernah memaksa anak-anak untuk menceburi sesuatu bidang. Kami hanya beritahu dia, bakatnya terserlah dalam bidang ini dan jika dia serius, kita akan pastikan yang terbaik dalam perjalanannya itu,” ujar Norfasarie.

Namun, beliau akur sering mengingatkan anaknya itu dalam menceburi sukan secara serius, pasti akan ada pasang surutnya dan dia perlu sentiasa bersedia.

“Sekarang ke mana-mana dia pergi ramai yang akan mengucapkan tahniah kepadanya.

“Tapi saya ingatkan dia, perkara seperti ini tak akan kekal dan dia perlu sentiasa rendah diri, jangan sampai orang kata kita sombong,” katanya.

Tambahnya, ramai saudara mara yang turut memberikan kata-kata perangsang kepadanya dan ini mungkin bertambah semasa tempoh Hari Raya ini.

Lebaran kali ini lebih istimewa bagi Moza yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-13 pada 14 April – Hari Raya kelima.

Kata Moza: “Melalui penglibatan saya (dalam sukan ini), saya nak buktikan yang kekurangan kita tak seharusnya jadi penghalang capai impian.

“Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain, dan jangan putus asa kerana perjalanan ke arah kejayaan itu mungkin lebih indah dari kejayaan itu sendiri.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >