Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mun Wai tarik balik kenyataan yang seolah-olah persoal kesaksamaan Speaker Parlimen

Jul 2, 2024 | 5:48 PM
Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng (kanan), berkata komen yang dibuat Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai (kiri), dalam podcast ‘Yah Lah But’ menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesaksamaannya sebagai Speaker.
Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng (kanan), berkata komen yang dibuat Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai (kiri), dalam podcast ‘Yah Lah But’ menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesaksamaannya sebagai Speaker. - Foto MCI

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, telah menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam podcast ‘Yah Lah But’ yang seolah-olah mempersoalkan kesaksamaan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng.

Pada permulaan persidangan Parlimen pada 2 Julai, Encik Seah memberitahu Dewan bahawa Encik Leong telah menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam podcast tersebut, yang mempertikaikan keadilan Speaker memanggil Anggota Parlimen (AP) untuk bertanya soalan susulan.

Dalam podcast tersebut, yang diterbitkan pada 15 Mei, hos podcast itu berkata:

“Untuk (perbahasan Parlimen)... setiap kali Speaker berkata, okey, ada sebarang soalan, anda adalah salah seorang yang pertama untuk mengangkat tangan.”

Setelah tertawa, Encik Leong menjawab: “Dan salah seorang yang terakhir dipanggil.”

Encik Seah berkata kenyataan Encik Leong itu merupakan salah nyata tentang prosiding Parlimen.

“Kenyataan itu menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesaksamaan saya dalam memanggil (AP).

“Ini adalah cerminan watak saya sebagai Speaker, menyentuh pengendalian saya dalam prosiding Parlimen,” kata Encik Seah.

Rekod daripada Hansard antara Ogos 2023 dengan Mei 2024 menunjukkan tiada asas untuk kenyataan Encik Leong, tambah Encik Seah.

“Ia menunjukkan bahawa Encik Leong telah dipanggil untuk bertanya soalan susulan dan penjelasan lebih awal daripada anggota lain pada banyak kesempatan, dan bahawa saya telah memanggilnya lebih daripada sekali pada kesempatan yang berulang dalam perkara yang sama,” kata Encik Seah, yang telah dipilih sebagai Speaker pada Ogos 2023.

Encik Seah berkata setelah beliau menulis kepada Encik Leong pada 22 Jun, Encik Leong telah menjawab bahawa kenyataannya adalah “respons gurauan dan komen berseloroh” yang dibuat pada permulaan temu bual untuk memeriahkan podcast tersebut.

Encik Leong menambah bahawa beliau tiada niat langsung mempertikai kesaksamaan Encik Seah di Parlimen dan telah memberitahu Encik Seah ketika itu bahawa beliau akan mengeluarkan pos di Facebook untuk “menghapuskan sebarang salah faham”.

Dalam catatan Facebook pada 25 Jun, Encik Leong mengulangi apa yang telah diberitahunya kepada Encik Seah dan menambah bahawa “Speaker, dalam pelbagai kesempatan, memanggil saya mendahului anggota lain”.

Encik Seah berkata beliau menghantar e-mel kepada Encik Leong untuk meminta kenyataan bertulis, yang mengharuskan Encik Leong memohon maaf kerana telah memberikan tanggapan mengelirukan bahawa Encik Leong salah seorang yang terakhir dipanggil apabila Speaker bertanyakan soalan.

Encik Leong menjawab pada 28 Jun bahawa kenyataannya pada podcast itu adalah komen berseloroh dan bahawa beliau tidak berniat mempersoal kesaksamaan Speaker.

Pada 30 Jun, Encik Seah menulis semula kepada Encik Leong, mengatakan bahawa penjelasannya itu tidak mengandungi permohonan maaf yang diperlukan untuk menutup perkara itu, lapor The Straits Times.

Pada 1 Julai, Encik Leong menjawab bahawa beliau akan menarik balik kata-katanya di podcast ‘Yah Lah But’, tetapi “tidak tepat untuk membuat permohonan maaf yang mencadangkan niat untuk mengelirukan pendengar”.

Encik Leong juga mengesahkan bahawa beliau tidak berniat membayangkan bahawa beliau telah dilayan secara berbeza daripada AP lain, atau bahawa Encik Seah telah melayannya secara tidak adil sebagai Speaker.

Encik Seah berkata pada 2 Julai bahawa beliau menganggap perkara itu telah ditutup, selepas memberikan “pertimbangan yang teliti dan sewajarnya terhadap keseluruhan penjelasan Encik Leong”.

Encik Seah memberitahu Dewan bahawa para AP tahu apa yang berlaku di Parlimen dan untuk mengatakan sesuatu yang berbeza kemudian, walaupun dalam bentuk gurauan, adalah memberikan gambaran yang salah mengenai prosiding dengan sengaja.

“Pernyataan salah menjadi lebih serius jika ia mencerminkan perwatakan anggota atau pengerusi,” katanya.

“Sebagai anggota yang berhormat, kita tidak sepatutnya terlibat dalam kelakuan sedemikian.”

“Kenyataan itu menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesaksamaan saya dalam memanggil (Anggota Parlimen).  Ini adalah cerminan watak saya sebagai Speaker, menyentuh pengendalian saya dalam prosiding Parlimen.”
Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg