Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP fail usul susuli isu ungkapan tidak wajar di Parlimen

Jul 14, 2023 | 7:11 PM
FAILKAN USUL: Usul itu akan menangani perlunya Parlimen menjadi arena yang adil buat semua, kata Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa.
FAILKAN USUL: Usul itu akan menangani perlunya Parlimen menjadi arena yang adil buat semua, kata Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa. - Foto MCI

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa, telah memfailkan usul bagi persidangan Parlimen akan datang untuk meminta Dewan menegaskan lagi komitmennya tentang perlunya bagi Speaker Parlimen bersikap bebas dan tidak berat sebelah.

Usul itu juga akan menangani perlunya Parlimen menjadi arena yang adil buat semua, menurut kededua NCMP Parti Kemajuan Singapura (PSP) itu.

Sebelum ini, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, berkata beliau akan memberi sepatah dua kata dalam ucapannya tentang komen Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, yang didengar dari mikrofon selepas ucapan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Dr Jamus Lim, kerana perkara itu melibatkan tingkah laku di Parlimen.

Dalam satu kenyataan di media sosial pada Jumaat, PSP berkata walaupun Encik Tan telah meminta maaf kepada Dr Lim dan Cik Indranee akan menangani perkara itu di Parlimen pada persidangan akan datang, parti itu yakin ia tetap perkara yang serius.

“Adalah wajar dibahaskan sepenuhnya di Parlimen kerana ia menyentuh tentang hak istimewa Parlimen, etika profesionalisme, serta kesaksamaan dan kebebasan jawatan Speaker,” menurut kenyataan itu.

Beberapa hari sebelum itu, tular sebuah video di mana Encik Tan kedengaran menuturkan kekata kesat dan lucah “****ing populist” pada mikrofon semasa hari pertama perbahasan mengenai Ucapan Presiden pada 17 April.

Ini selepas Dr Lim selesai berucap tentang menjalankan lebih banyak usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah di sini.

Pada pagi Selasa, Encik Tan dalam satu kiriman Facebook berkata beliau perlu mendengar rakaman tersebut kerana beliau tidak ingat akan kejadian itu. Beliau berkata beliau memohon maaf kepada Dr Lim kerana menggunakan bahasa tidak beradab di Parlimen.

PSP juga berkata dalam kenyataannya pada Jumaat bahawa usaha memastikan Parlimen adil kepada semua bermula dengan Speaker.

“Bagaimanapun, beberapa proses dan prosedur Parlimen juga perlu diubah untuk membolehkan perbahasan yang lebih membina dan produktif diadakan,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, WP berkata seperti ramai warga Singapura, mereka juga kecewa apabila menonton video tersebut.

“Adalah penting bahawa semua orang mempunyai keyakinan bahawa Speaker akan mempengerusikan perbahasan Parlimen secara tidak berat sebelah.

“Speaker memainkan peranan sebagai pengadil dalam perbahasan politik di peringkat tertinggi, menjaga ketenteraman dan memberi panduan tentang prosedur Parlimen. Adalah wajar agar keprihatinan orang ramai berhubung isu ini ditangani di Parlimen,” kata WP.

Parlimen dijadual bersidang pada Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg