Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mural kehidupan kejiranan hiasi stesen MRT Bedok

Jun 22, 2024 | 5:53 PM
Empat daripada lima pelajar Sekolah APSN Katong yang menghasilkan mural telah menerima sijil penghargaan semasa majlis pelancaran di stesen MRT Bedok pada 22 Jun. Mereka terdiri daripada (dari kiri) Vanessa Gabrielle Teo Mei Jin, Nisa Sabrina Noor Azhary, Shirin Haroon dan Muhammad Rahmat Razali.
Empat daripada lima pelajar Sekolah APSN Katong yang menghasilkan mural telah menerima sijil penghargaan semasa majlis pelancaran di stesen MRT Bedok pada 22 Jun. Mereka terdiri daripada (dari kiri) Vanessa Gabrielle Teo Mei Jin, Nisa Sabrina Noor Azhary, Shirin Haroon dan Muhammad Rahmat Razali. - Foto SMRT

Mural tujuh mercu tanda unik kejiranan Bedok adalah antara pemandangan yang akan menyapa orang ramai di stesen MRT Bedok di Laluan Timur-Barat.

Lukisan hasil kerjasama lima pelajar Sekolah APSN (Katong) itu adalah sebahagian daripada projek Comic Connect yang dilancarkan di stesen MRT itu.

Projek itu sudah dilancarkan di 29 stesen MRT sejak diperkenalkan pada 2022.

Mural itu menampilkan gambaran kawasan kejiranan melalui kaca mata pelajar, mempamerkan gabungan harmoni tempat semula jadi, ruang masyarakat dan orang awam yang terlibat dalam rutin harian mereka.

Antara lain yang dipaparkan dalam mural itu ialah Kolam Air Bedok; Opera Estate dan Frankel Estate, di mana Presiden pertama Singapura, Allahyarham Encik Yusof Ishak pernah bermastautin; dan Bedok Town Square, iaitu kawasan sibuk yang terletak di antara pusat membeli-belah, pertukaran pengangkutan bersepadu dan pusat penjaja.

Turut dipamerkan ialah Simpang Bedok, tempat makan yang terkenal dalam kalangan penduduk Timur Singapura; Pokok Warisan, Sea Fig, yang terletak berhampiran; Pusat Pengunjung NEWater, hab pendidikan yang menggalakkan kelestarian air; dan tembok laut lama yang menandakan bekas garis pantai Bedok.

“Setelah menjadi perkampungan nelayan dan kawasan pertanian yang sederhana, Bedok telah berubah menjadi pusat bandar yang berkembang maju yang mengharmonikan kemodenan dengan akar sejarahnya yang mendalam.

“Kami berharap mural ini menggambarkan kemeriahan Bedok dan menjadi peringatan kepada penduduk tentang sejarah kawasan ini yang sangat kaya,” kata pengerusi SMRT, Encik Seah Moon Ming, dalam ucapan beliau semasa pelancaran.

Kelima-lima pelajar itu telah meluangkan masa kira-kira dua hingga tiga minggu dari penyelidikan awal hingga penyerahan akhir untuk menghasilkan mural tersebut.

Ini adalah kerjasama kali kedua antara SMRT dan Sekolah APSN Katong.

Karya seni sebelum ini dilancarkan pada 26 Oktober 2023 di stesen MRT Lapangan Terbang Changi di Laluan Timur-Barat.

Comic Connect ialah kerjasama antara pengendali rel perintis Singapura dan anggota masyarakat seni tempatan untuk menghasilkan mural dinding komik bertemakan warisan di 35 stesen MRT kendalian SMRT di seluruh negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg