Topik diikuti
Pergi ke BHkuMurali: Rantau Asia-Pasifik boleh terajui usaha tangani cabaran sektor penerbangan
Murali: Rantau Asia-Pasifik boleh terajui usaha tangani cabaran sektor penerbangan
Rantau Asia-Pasifik merupakan pemacu utama pertumbuhan trafik udara global, dan adalah penting bagi rantau ini untuk membentuk masa depan industri penerbangan sendiri berbanding menggunakan penyelesaian dari luar, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, pada 23 September.
Beliau menambah bahawa pandangan jauh dan pelaburan berterusan dengan tumpuan pada pertumbuhan masa depan merupakan faktor yang mendorong perancangan pemindahan lapangan terbang di negara seperti Hong Kong dan Korea Selatan sejak awal 1990-an.
Keputusan yang dibuat ketika itu telah mengubah bandar-bandar berkenaan serta kehidupan rakyatnya.
Apabila ekonomi Asia menjadi semakin terhubung dan bersepadu dengan dunia, lapangan terbang seperti Changi, Chek Lap Kok (Hong Kong) dan Incheon (Korea Selatan) menjadi pintu masuk utama bagi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan, kata Encik Murali.
“Jika diteliti kembali, keputusan-keputusan ini kelihatan jelas. Namun hakikatnya, ia menuntut visi, pelaburan berterusan dan keyakinan bahawa ketersambungan akan mewujudkan dunia baharu yang belum lagi ada ketika itu,” tambahnya.
Pengajarannya amat jelas. Lapangan terbang dibina bukan sekadar untuk menampung trafik semasa, tetapi untuk menampung pertumbuhan mendatang.
Encik Murali berkata demikian pada acara pembukaan Ekspo Terminal Penumpang Asia (PTE Asia) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, yang dianjurkan buat julung-julung kalinya.
Dalam ucapannya, Encik Murali menyentuh tentang bagaimana Lapangan Terbang Changi berkembang daripada satu terminal pada 1980-an menjadi satu hab udara global utama yang kini mengendalikan empat terminal dengan penerbangan terus ke kira-kira 170 bandar di serata dunia.
Satu terminal baharu, Terminal 5, pula dijadualkan dibuka pada pertengahan 2030-an.
Direka untuk menampung kira-kira 50 juta penumpang setahun, ia dijangka menggandakan saiz Lapangan Terbang Changi dan meningkatkan kapasiti penumpang tahunan daripada 90 juta kepada 140 juta.
Antara cabaran utama yang dihadapi sektor penerbangan termasuk pasaran tenaga kerja yang semakin ketat dan jangkaan penumpang yang semakin tinggi.
Industri ini juga sedang berdepan dengan ketidakpastian operasi di tengah-tengah gesaan mendesak ke arah kemampanan lebih tinggi, ujar Encik Murali.
Kemampanan mungkin merupakan cabaran dengan “kesan paling besar” bagi generasi ini.
Meskipun penyelesaian seperti bahan api penerbangan yang mampan dan kenderaan darat elektrik sudah tersedia di pasaran, penggunaannya terhalang oleh kos yang tinggi.
Bahan api jet hijau, contohnya, dikatakan mampu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau sehingga 80 peratus berbanding bahan api jet konvensional, namun kosnya tiga hingga lima kali ganda lebih mahal.
“Namun, berdiam diri bukanlah satu pilihan. Projek penyahkarbonan lazimnya memerlukan pelaburan besar sebelum teknologinya matang dan manfaat komersialnya dapat dicapai sepenuhnya.
“Tindakan menunggu sehingga ketidakpastian ini hilang hanya akan merugikan masa kita yang berharga,” kata Encik Murali.
Hasil yang positif, bagaimanapun, hanya boleh dicapai jika pelbagai pihak berkepentingan menjalinkan kerjasama, jelas Encik Murali.
“Kita berada dalam industri yang berteraskan hubungan, jadi kita semua mesti menyedari bahawa perkara ini tidak boleh dilakukan secara sendiri oleh satu lapangan terbang, syarikat penerbangan, atau pemerintah sahaja.
“Usaha meluaskan penggunaan penyelesaian yang berdaya maju memerlukan gabungan kerjasama dengan rakan kongsi yang bersedia.”