FairPrice Group (FPG) melancarkan Kelab Sarapan Cheers, satu daya usaha pertama serupa itu, bagi menyediakan murid Darjah 6 dengan makanan berkhasiat dan sokongan menjelang Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Menerusi daya usaha itu, sebanyak 12,000 bungkusan makanan berkhasiat akan diberikan secara percuma kepada murid Darjah 6 di 131 cawangan Cheers dan FairPrice Xpress Singapura pada 20 dan 21 September 2024 – berdasarkan yang dahulu didahulukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, menekankan peranan penting pemakanan sihat dalam mempersiapkan keluarga muda dan anak mereka dalam kehidupan harian.
“Kesejahteraan fizikal dan mental memainkan peranan penting semasa mempersiapkan diri untuk peperiksaan PSLE. FPG percaya bahawa pemakanan yang baik adalah kunci untuk mengekalkan keseimbangan yang sihat bagi kededuanya,” jelas beliau.
“Melalui inisiatif seperti Kelab Sarapan Cheers, kami berharap dapat menjadikan perjalanan penting ini lebih menyeronokkan, dan memperbaiki kehidupan harian murid serta ibu bapa mereka.”
Setiap bungkusan sarapan bernilai lebih $20, termasuk susu, bijirin, dan roti mil penuh.
Zat protein daripada Brand’s Essence of Chicken dan tuna dalam tin turut diberikan untuk memberikan murid tenaga semasa mengulang kaji bagi peperiksaan.
Untuk mendapatkan bungkusan sarapan pagi itu, murid yang mengambil PSLE pada 2024 perlu mengunjungi salah satu cawangan Cheers atau FairPrice Xpress yang mengambil bahagian dalam program tersebut dan menunjukkan kad pelajar atau slip peperiksaan PSLE untuk pengesahan.
Pengambilan dihadkan kepada satu bungkusan bagi setiap murid, dan berdasarkan yang dahulu didahulukan, selagi stok masih ada.
Kelab Sarapan Cheers adalah yang terbaru dalam siri program yang dilancarkan FPG pada 2024 bagi meningkatkan akses rakyat Singapura kepada barangan keperluan harian, termasuk menyerapkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas 500 barangan keperluan.
Pada bulan-bulan akan datang, FPG akan terus melaksanakan misi sosial melalui satu siri daya usaha yang akan meningkatkan pemahaman rakyat Singapura tentang makanan berkhasiat dan memperbaiki cara mereka mengakses barangan itu dalam kehidupan harian.
FairPrice telah mengagihkan lebih 60,000 set minuman dan makanan ringan, termasuk kurma percuma kepada pelanggan Islam, di 61 cawangan pasar raya itu di seluruh negara sepanjang Ramadan 2024.
Pemberian juadah berbuka itu, yang diadakan dari 12 Mac hingga 9 April, merupakan inisiatif pemberian juadah iftar yang ke-16 bagi FairPrice.
Syarikat itu juga memberi sumbangan $40,000 kepada Yayasan Mendaki pada 2 April 2024.
Ia bertujuan membantu murid membiayai kos berkaitan pendidikan mereka seperti yuran sekolah, pengangkutan dan pembelian buku teks.
Melahirkan penghargaannya, CEO Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata: “Kami bersyukur kerana FairPrice berkongsi misi Mendaki dalam membantu membaiki kehidupan keluarga melalui pendidikan dan menunjukkan sokongan itu melalui sumbangan yang bermakna ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg