Topik diikuti
Pergi ke BHkuMurid sekolah rendah bersaing guna bahasa Melayu rungkai ‘misteri’
Permainan interaktif pupuk penggunaan bahasa di luar bilik darjah
Sorakan dan gelak ketawa lebih 56 murid sekolah rendah yang beraksi sebagai detektif, dan penterjemah bahasa memenuhi dewan di Kelab Masyarakat Zhenghua di Bukit Panjang pada pagi 22 Ogos.
Murid-murid tersebut telah bersaing dalam pertandingan, Lumba Bahasa: Arena Bestari 2026, satu daya usaha masyarakat yang direka untuk menggalak dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu di luar bilik darjah menerusi permainan dan cabaran interaktif.
Antara lain, penguasaan bahasa dan ilmu warisan Melayu murid-murid itu diuji menerusi cabaran seperti merungkai identiti watak misteri serta menyelesaikan cabaran kosa kata berpandukan petunjuk dalam bahasa Melayu.
Juara pertandingan itu ialah daripada Sekolah Rendah West View.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), wakil daripada pasukan juara pertandingan itu, Sufiyyah Rayyana Mohammad Shahid, sembilan tahun, meluahkan rasa seronok kerana dapat meguji kebolehannya menerusi kegiatan menarik.
“Saya paling menggemari cabaran Pakar Dwibahasa, kerana saya dapat menggunakan kreativiti saya untuk memikirkan cara terbaik melakonkan perkataan yang diberikan agar ahli kumpulan saya dapat meneka perkataannya dengan betul,” katanya.
Pertandingan itu dianjurkan sempena Bulan Bahasa 2026 – yang berlangsung dari 14 Ogos hingga 11 Oktober.
Ia dianjurkan bersama oleh Sekolah Rendah Beacon, Maktab Rendah Jurong Pioneer (JPJC) dan Persatuan Rakyat (PA).
Mereka mendapat sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Bukit Panjang, Senja-Cashew dan Zhenghua.
Sekitar 170 menghadiri pertandingan itu, termasuk 117 peserta dari sekolah rendah di kawasan Barat, ketua stesen, pemudah cara murid serta sukarelawan dan kakitangan dari MAEC dan Sekolah Rendah Beacon.
Menteri Ehwal Luar serta penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi GRC Holland-Bukit Timah (Cashew), Dr Vivian Balakrishnan; penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi GRC Holland-Bukit Timah (Zhenghua), Encik Edward Chia Bing Hui; dan penasihat Pertubuhan Akar Umbi Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, turut hadir sebagai tetamu terhormat.
Menurut jurucakap jawatankuasa pertandingan itu, siri cabaran telah dicipta khas untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di luar bilik darjah secara berkesan dan mudah diakses oleh murid pelbagai tahap kemahiran.
“Dengan menyajikan bahasa menerusi cabaran berasaskan permainan secara amali ini, kami berharap murid tidak hanya melihat bahasa Melayu sebagai mata pelajaran di sekolah, tetapi juga bahasa yang boleh digunakan secara berkesan untuk berkomunikasi, bekerjasama, dan berseronok,” katanya.
Inisiatif tersebut, tambah jurucakap itu, turut mencerminkan komitmen sekolah dan rakan masyarakat dalam memupuk minat dalam bahasa Melayu, memperhebat penghayatan budaya serta memperkukuh hubungan kemasyarakatan menerusi pendidikan dan semangat kesukarelawanan.
Para peserta terdiri daripada murid Darjah 3 dan 4 dari tujuh sekolah di kawasan barat.
Ia termasuk Sekolah Rendah Beacon, Bukit Panjang, Greenridge, Teck Whye, West Spring, West View dan Zhenghua.
Setiap sekolah diwakili oleh dua pasukan yang bersaing di enam stesen bagi menguji kemahiran bertutur, mendengar, membaca, dan kosa kata bahasa Melayu mereka.
Stesen, Kembara Budaya, menguji pengetahuan murid mengenai budaya dan warisan Melayu.
Di stesen, Pentas Radio, setiap kumpulan mendengar sketsa yang dilakonkan oleh ketua stesen, dan kemudian menjawab soalan berdasarkan sketsa yang didengar.
Murid perlu bijak menggunakan petunjuk dan matlamat untuk meneliti pentafsiran dalam cabaran pemahaman bahasa Kefahaman Songsang.
Kemudian, murid bergelar sebagai detektif dalam stesen, Siapakah Aku? dan Detektif Kata, di manakah mereka perlu merungkai identiti watak atau objek misteri serta siri kosa-kata.
Kemahiran penterjemahan mereka juga menyerlah di stesen, Pakar Dwibahasa.
Siri cabaran itu telah dicipta dan dikendalikan oleh murid Darjah 5 dari Sekolah Rendah Beacon, serta pelajar dan alumni sukarelawan Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) dari JPJC.
Penglibatan mereka merupakan peluang baik untuk anak-anak muda mengasah kebolehan kepimpinan dan pementoran, menurut jurucakap jawatankuasa Lumba Bahasa: Arena Bestari.
Sebagai ketua stesen yang merancang keseluruhan kegiatan tersebut, Presiden MLEP JPJC, Shireen Insyirah Mohammed Shariff, amat teruja melihat setiap peserta menyelesaikan setiap cabaran dengan bersungguh-sungguh.
“Fokus kami bukan sekadar memastikan mereka menjawab soalan, tetapi benar-benar menikmati proses pembelajaran tersebut.
“Pengalaman ini telah memberikan peluang kepada murid untuk menggunakan bahasa Melayu mengikut konteks serta menyesuaikan penggunaan bahasa mengikut pelbagai situasi kehidupan seharian,” tambah pelajar berusia 17 tahun itu.
Bagi Shireen, pengalaman tersebut membawa kesedaran bahawa mereka boleh memainkan peranan penting dalam memupuk rasa cinta terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
“Melalui Lumba Bahasa, kami mahu membuktikan kepada murid sekolah rendah bahawa bahasa Melayu bukan sekadar subjek peperiksaan malah ia sebuah bahasa yang kaya dengan nilai, budaya, dan identiti tersendiri,” tambahnya.
