Topik diikuti
Pergi ke BHkuSentiasa cari ruang guna bahasa Melayu
Dengan pengajian harian saya sebagai penuntut ijazah Sarjana dalam bidang Sastera Inggeris, tambahan tugas saya sebagai tutor di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), segalanya berpusat pada penggunaan bahasa Inggeris.
Kini, saya sedang menjalani latihan di Pusat Bahasa dan Komunikasi (LCC) NTU untuk menjadi seorang Pelatih Komunikasi pula.
Lagilah saya diperlukan untuk menggunakan bahasa Inggeris secara sepenuhnya.
Sejak waktu saya mengambil ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera Inggeris, saya memang banyak ‘bergelut’ dengan bahasa Inggeris secara harian.
Jadi dari sudut pendidikan formal atau suasana berstruktur untuk saya gunakan bahasa Melayu, ia kian berkurangan.
Adakalanya saya tertanya, di mana lagi peluang dan ruang yang boleh saya gunakan bahasa Melayu di Singapura?
Perbualan dengan teman-teman berbangsa Melayu juga bercampur – bahasa Melayu sedikit, bahasa Inggeris sedikit.
Mujur, perbualan di rumah bersama ibu saya, Rosenani Mohd Ariffin, 61 tahun, banyak menggunakan bahasa ibunda kami.
Ada masa terlepas juga dan menggunakan bahasa Inggeris tanpa disedari, kerana lebih selesa menjelaskan perkara tertentu kepada Ibu dalam bahasa tersebut.
Ibu sering mencelah kalau terlalu banyak sangat menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian.
“Terangkan dalam bahasa Melayu sajalah, lagi senang nak hadam,” kata beliau.
Namun, walaupun kehidupan saya dikelilingi bahasa Inggeris, kalau bab belajar agama, saya rasa menggunakan bahasa Melayu merupakan pilihan terbaik.
Bahasa Melayu ada semacam ‘jiwa’. Ia ada kehalusannya.
Jadi ini membantu menjelaskan perihal agama yang memerlukan penjiwaan seperti tentang bab akhlak.
Bukan itu sahaja, beberapa perkataan dalam bahasa Melayu merupakan kosa kata yang dipinjam daripada bahasa Arab.
Faktor tersebut melancarkan lagi penyampaian ilmu itu.
Saya menyertai beberapa kelas agama seperti yang diadakan di Ma:een, sebuah kedai buku Islam yang terletak di Ang Mo Kio dan dikendalikan mantan Mufti Ustaz Mohamed Fatris Bakaram, dan juga di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri di Wisma Indah, yang terletak di Changi Road.
Kededuanya dijalankan dalam bahasa Melayu.
Saya juga perhatikan sesetengah asatizah lebih selesa menggunakan bahasa Melayu untuk menerangkan beberapa aspek keagamaan tertentu.
Ini membuat penyampaian dan pengajaran itu lebih lancar, sekali gus mudah bagi saya fahami penyampaian mereka.
Daripada situ, saya pun lebih terdedah kepada kitab agama yang menggunakan bahasa Melayu.
Memandangkan perbualan dan kegiatan harian saya lebih kepada mempelajari serta mengajar bahasa dan sastera Inggeris, saya dengan sendiri harus mencari ruang untuk mendedahkan diri saya kepada bahasa Melayu supaya ia tidak ‘karat’.
Jadi saya akan berselang-seli membaca buku cereka dan bukan cereka dalam bahasa Melayu.
Contohnya, saya sedang membaca novel Hamka bertajuk Terusir, dan pada masa yang sama juga membaca buku perbincangan, seperti Melayu di Mata Raffles oleh Khairudin Aljunied; dan Risalah Kaum Muslimin oleh Syed Naquib Al-Attas.
Dengan bacaan seperti ini, saya kekal terhubung, atau in touch, dengan bahasa ibunda saya melalui pelbagai bidang ilmu yang luas.
Sejujurnya, saya berpendapat bahasa Melayu itu melampaui peranan sebagai ‘bahasa harian’ bagi orang Melayu di Singapura.
Saya setuju bahasa ibunda kita ini menjadi lambang identiti hidup sebagai satu masyarakat di Singapura.
Tapi saya juga sedar bahasa Melayu itu berperanan besar dalam menjadi alat penyampaian subjek, topik dan ilmu.
Itu yang sebenarnya yang menampakkan ‘warna-warni’ bahasa Melayu itu sendiri.
Saya lihat di Singapura, mungkin peluang atau wadah untuk menggunakan bahasa Melayu dengan cara itu masih belum berleluasa lagi.
Namun, saya suka bila menonton kandungan atau video di media sosial, yang membuat temu ramah di jalanan dan bertanyakan soalan ‘kontroversi’ dalam bahasa Melayu.
Ia merupakan usaha yang baik kerana masyarakat Melayu akan lebih tertarik untuk menontonnya dan, secara tidak langsung, menggalak penggunaan bahasa secara semula jadi.
– Cik Nurul Aini Ithnin, 25 tahun,
penuntut ijazah Sarjana dan tutor Sastera Inggeris di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
*Artikel ini ditulis oleh wartawan berdasarkan wawancara dengan Cik Nurul Aini Ithnin.
