Masjid Ar-Raudhah dengan jayanya mengadakan acara Raudhatul Al-Quran, Musabaqah Murattal Al-Quran, untuk menghargai dan mengenang jasa mantan qari Singapura yang terkenal dan dihormati ramai, iaitu Allahyarham Mohd Fadzuli Bajuri.
Allahyarham Mohd Fadzuli pernah menjadi johan berturut-turut, sejak tahun 1968 hingga 1972, dalam musabaqah peringkat kebangsaan Singapura, serta juga pernah memegang tempat kedua dan ketiga pada peringkat antarabangsa.
Selain itu, Allahyarham Mohd Fadzuli juga pernah menjadi hakim Majlis Tilawah Al-Quran Belia-Belia Asean di Bangkok, Thailand, dan selama lebih tiga dekad lamanya, Allahyarham juga diundang menjadi antara juri hakim Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) di Singapura.
Jasa berterusan Allahyarham Mohd Fadzuli adalah membimbing para qari dan qariah mewakili negara ini ke peringkat antarabangsa di Malaysia, dan antara mereka ialah Encik Abdul Wahid Muhammad, Ustaz Mohd Rizal Husin, Ustaz Nur Muhammad, Ustaz Mohd Syarafuddin, Ustazah Khamsiah Amir, Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani dan Ustazah Nurul Huda Khamsani.
Pada tahun 1996 hingga 2000 pula, Allahyarham Mohd Fadzuli menyandang tugas dan amanah sebagai Ahli Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah.
Selain berjaya melestarikan dan memartabatkan kedudukan Al-Quran, Allahyarham Mohd Fadzuli juga turut menjadi penasihat dalam pembangunan serta pengukuhan jabatan agama dan Al-Quran di Masjid Ar-Raudhah.
Menurut Ketua di unit bahagian Raudhatul Al-Quran di Masjid Ar-Raudhah, Ustazah Zakiah Abdul Razak, Musabaqah Murattal Al-Quran ini juga diberikan nama ‘Piala Almarhum Haji Mohd Fadzuli Bajuri’ dan disasarkan kepada golongan belia.
“Musabaqah Murattal kali ini diadakan khusus buat golongan remaja berusia daripada 13 hingga 20 tahun. Tujuan kami adalah untuk menarik minat golongan belia dalam menceburi seni Al-Quran di samping terus berdaya tahan dalam mengharungi cabaran kehidupan dewasa ini. Semoga dengan mendampingi Al-Quran, remaja kita akan terus maju dan diberkati Allah swt.
“Seramai lapan peserta, tujuh Muslimin dan seorang Muslimah berusia antara 13 tahun dengan 16 tahun, telah menunjukkan bakat mereka dengan baik pada hari tersebut. Bukan sahaja daripada aliran madrasah, ramai yang daripada aliran akademik juga.
“Walaupun majlis ini berskala sederhana, ia tetap berjaya dengan adanya ibrah daripada bacaan peserta untuk perkongsian bersama jemaah, serta bacaan yang telah disampaikan oleh Ustazah Nur Adilah Selamat diiringi dengan bacaan selawat oleh Ustaz Muhammad Mustafa bersama jemaah demi menghidupkan suasana cinta Al-Quran,” jelas Ustazah Zakiah.
Peringkat akhir acara ini telah berlangsung pada 1 September di Dewan Yam, Aras 1 di masjid tersebut.
Pemenang pertama hingga kelima membawa balik piala, wang, kain pelekat bagi lelaki dan telekong bagi wanita dan sijil penyertaan. Bagi hadiah sagu hati, tempat keenam hingga kelapan pula, peserta membawa balik baucar pasar raya NTUC, kain pelikat serta sijil penyertaan.
Penyampai hadiah ialah anak Allahyarham Mohd Fadzuli, Encik Ahmad Farid Mohd Fadzuli.
“Insya-Allah, semoga pada tahun akan datang lebih ramai yang akan tampil ke hadapan untuk menghidupkan lagi rasa cinta pada Al-Quran. Dan ini bermakna cinta Al-Quran membawa ke arah keluarga yang bahagia dan keluarga berkah,” tambah Ustazah Zakiah.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantaran cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang disediakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg