Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) terus mengharumkan nama negara apabila tersenarai sebagai salah satu daripada lima finalis Anugerah Children in Museums 2025, sekali gus meletakkannya sebaris dengan institusi bertaraf dunia dari United Kingdom, Hungary, Dubai dan Amerika Syarikat.
Anugerah berprestij itu diumumkan sempena Persidangan Hands On! International di Liverpool, England, pada 26 November.
Hands On! International merupakan persidangan terbesar mengenai pendidikan sains dan kanak-kanak di muzium, yang membuka ruang memikirkan semula tentang peluang pembelajaran dan mewujudkan rekaan bagi merangsang cabaran dalam sektor muzium kanak-kanak.
Gelaran juara untuk tahun ini (2025) diberikan kepada muzium kanak-kanak dan pusat sains, La Nube, dari Texas, Amerika Syarikat.
Namun, menurut Pengarah CMSG, Cik Asmah Alias, pencapaian CMSG sebagai finalis sudah cukup membanggakan, lebih-lebih lagi dalam landskap muzium kanak-kanak yang semakin berdaya saing di peringkat sejagat.
“Dinamakan sebagai finalis bersama muzium-muzium hebat dari seluruh dunia ialah satu penghormatan yang amat besar.
“Pengiktirafan ini membuktikan usaha gigih dan kesungguhan yang dicurahkan oleh pasukan kami dalam menghasilkan pengalaman pembelajaran yang bermakna, menggembirakan, dan terangkum untuk kanak-kanak.
“Kami terus berinspirasi untuk mencabar sempadan dan memperjuangkan kepentingan bermain serta pembelajaran dalam kehidupan setiap kanak-kanak,” ujar Cik Asmah.
Anugerah Children in Museums, yang diperkenalkan pada 2011 oleh Akademi Muzium Eropah dan dan Hands On! International Association of Children in Museums, menilai inovasi, program bermutu, serta pameran yang direka khusus untuk pengunjung muda.
Selain itu, ia juga menilai aspek keterangkuman dan kesan sosial, termasuk program atau inisiatif yang memberi kesan positif kepada masyarakat serta memberi tumpuan kepada kepelbagaian dan kegiatan jangkauan masyarakat.
Anugerah tersebut dianggap antara pengiktirafan tertinggi dalam dunia muzium kanak-kanak.
CMSG buat kali pertama membuka pintunya pada Disember 2022 dan merupakan muzium kanak-kanak pertama di Singapura.
Terletak di 23-B Coleman Street, ia telah menampilkan pelbagai pameran yang menekankan unsur imaginasi, eksperimen, dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
CMSG baru-baru ini juga diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan (MOE) atas kerjasamanya dengan Akademi Guru-Guru Singapura (AST) bagi program ‘Teacher Work Attachment Plus’ (TWA+).
Menerusi TWA+, para guru berpeluang diundang ke CMSG bagi pembangunan profesional mereka, sekali gus memupuk pertukaran pandangan dan kerjasama yang bermakna antara masyarakat pendidikan dan muzium.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg