Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 30 murid ‘urus’ operasi muzium sempena Hari Kanak-Kanak

Selami pengalaman dunia kerja sambil pelajari kemahiran komunikasi, kerjasama
Oct 9, 2025 | 5:30 AM
Nur Jannah Noor Firdaus, Nur Marissa Abdul Rashid,  Sekolah Rendah Gan Eng Seng, childrens day
Nur Jannah Noor Firdaus (kiri) dan Nur Marissa Abdul Rashid, merupakan antara 32 murid Sekolah Rendah Gan Eng Seng yang ‘mengambil alih’ operasi Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) selama setengah hari sempena sambutan Hari Kanak-Kanak pada 3 Oktober. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Sambil berdiri di kaunter tiket Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG), Nur Jannah Noor Firdaus, menarik nafas panjang sebelum menekan suis sistem interkom.

Dengan matanya terpaku pada sehelai kertas, dia menghampiri mikrofon untuk membuat pengumuman dalam bahasa Inggeris.

“Tuan-tuan, puan-puan dan adik-adik sekalian! Selamat datang ke Muzium Kanak-Kanak Singapura! Persembahan di lantai satu akan bermula dalam masa lima minit.

“Persembahan ini terletak bersebelahan kaunter tiket. Jumpa anda di sana!” katanya sambil membaca skrip yang tersedia.

Murid Darjah 5 itu merupakan antara 32 murid Darjah 4 dan 5 daripada Sekolah Rendah Gan Eng Seng yang ‘mengambil alih’ operasi CMSG selama setengah hari semasa sambutan Hari Kanak-Kanak pada 3 Oktober.

Acara itu dihadiri tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, serta kira-kira 40 murid daripada Prasekolah Kinderland di cawangan Siglap, berserta ibu bapa mereka.

Ditugaskan membuat pengumuman dari masa ke masa, Nur Jannah, 11 tahun, bertanggungjawab memaklumkan kepada pengunjung setiap kali persembahan teater interaktif, The Hidden Chamber, akan bermula.

The Hidden Chamber ialah pertunjukan animasi yang ditayangkan pada skrin projektor di dalam bilik gelap, menampilkan watak ‘The Captain’, yang berkongsi tentang asal usul khazanah tertentu.

Mengulas tentang pengalamannya membuat pengumuman setiap kira-kira 15 minit, Nur Jannah berkata:

“Ia sungguh seronok! Saya rasa yakin dan tidak malu untuk berbual dengan kuat kerana saya suka berlakon, jadi suara saya memang lantang.”

Selain itu, dia juga memainkan peranan sebagai duta galeri, Ahoy Singapore, yang membolehkan pengunjung mengalami suasana pelabuhan Singapura pada zaman lalu menerusi bau rempah-ratus di atas kargo kapal.

Antara kemahiran yang Nur Jannah Noor Firdaus (dua dari kiri), pelajari adalah cara berkomunikasi dengan berkesan dan bersabar apabila membimbing kanak-kanak prasekolah.
Antara kemahiran yang Nur Jannah Noor Firdaus (dua dari kiri), pelajari adalah cara berkomunikasi dengan berkesan dan bersabar apabila membimbing kanak-kanak prasekolah. - Foto ST

Bagi Nur Jannah, anak sulung dalam tujuh beradik, pengalaman menjaga adiknya di rumah banyak membantunya membimbing kanak-kanak prasekolah tentang tingkah laku yang sesuai dan tidak sesuai semasa berada di muzium itu.

Ini termasuk dilarang menyentuh pameran tertentu dan menjaga suara agar tidak terlalu kuat.

“Saya harus banyak bersabar kerana sesetengah daripada kanak-kanak itu tidak mendengar kata. Saya juga harus mengulangi arahan saya kepada mereka,” kongsinya.

Seorang lagi murid Darjah 5 daripada Sekolah Rendah Gan Eng Seng, Nur Marissa Abdul Rashid, menyifatkan tugas yang dipikulnya sebagai pengalaman unik yang tidak dapat dipelajari di dalam bilik darjah.

Sebagai hos galeri, My Neighbourhood, Nur Marissa, 11 tahun, membantu kanak-kanak prasekolah melukis reka bentuk setem sendiri dan cara mempamerkan karya seni mereka di skrin besar.

Pengalaman ‘menguruskan’ Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) selama setengah hari memberi Nur Marissa Abdul Rashid, peluang mendalami selok-belok muzium, sesuatu yang tidak dapat dipelajari di dalam bilik darjah.
Pengalaman ‘menguruskan’ Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG) selama setengah hari memberi Nur Marissa Abdul Rashid, peluang mendalami selok-belok muzium, sesuatu yang tidak dapat dipelajari di dalam bilik darjah. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Dia turut memastikan ruang muzium sentiasa kemas dan teratur walaupun suasana agak sibuk.

“Saya belajar untuk bekerjasama dengan rakan dan berkomunikasi dengan lebih jelas supaya semua pengunjung faham apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Nur Marissa, anak sulung dua beradik, tidak rasa kekok mengurus ragam kanak-kanak prasekolah kerana mempunyai pengalaman membantu ibu bapanya menjaga adiknya di rumah.

Bagi Nur Jannah dan Nur Marissa, pengalaman ‘mengurus operasi’ CMSG selama setengah hari bukan sahaja menyeronokkan malah sedikit sebanyak membuka mata mereka kepada dunia pekerjaan sebenar dan mengajar mereka tentang sifat sabar, tanggungjawab serta kerjasama.

Menurut Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium HeritageSG, Cik Asmah Alias, 48 tahun, acara setengah hari itu bertujuan memupuk kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal murid sekolah rendah.

Selain CMSG, Muzium dan Gereja Kecil Changi (CCM) dan Renungan di Bukit Chandu juga terletak di bawah naungan HeritageSG.

Menurut Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium HeritageSG, Cik Asmah Alias (kanan), pengalaman selama setengah hari itu mendedahkan murid Sekolah Rendah Gan Eng Seng kepada kepetingan nilai seperti daya tahan dan kerja berpasukan.
Menurut Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium HeritageSG, Cik Asmah Alias (kanan), pengalaman selama setengah hari itu mendedahkan murid Sekolah Rendah Gan Eng Seng kepada kepetingan nilai seperti daya tahan dan kerja berpasukan. - Foto CMSG

Cik Asmah menjelaskan bahawa acara itu turut bertujuan mendedahkan kanak-kanak sekolah rendah kepada operasi sebenar yang dijalankan sebuah muzium.

Ini merangkumi tugas penjagaan kaunter tiket, pengendalian galeri, hingga ke tugasan pembersihan dan keselamatan.

“Kami mahu pengalaman ini memberi kanak-kanak itu peluang melihat dan mengenali pelbagai pekerjaan yang wujud di sebalik tabir muzium.

“Ramai anggap bahawa hanya kurator bekerja di muzium, sedangkan terdapat ramai lagi individu lain yang memainkan peranan penting.

“Selain itu, kami mahu memupuk kemahiran abad ke-21 seperti daya tahan, kerja berpasukan dan keinginan belajar.

“Semua ini akan membantu mereka apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak,” terang Cik Asmah.

Beliau turut menekankan bahawa CMSG memberi tumpuan kepada keterangkuman dan bekerjasama dengan guru daripada sekolah pendidikan khas bagi memastikan program muzium sesuai untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG), yang terletak di 23-B Coleman Street, juga bekerjasama dengan sekolah pendidikan khas bagi memastikan pameran mereka sesuai untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG), yang terletak di 23-B Coleman Street, juga bekerjasama dengan sekolah pendidikan khas bagi memastikan pameran mereka sesuai untuk kanak-kanak berkeperluan khas. - Foto ST

Sebagai contoh, di Aras 2 CMSG, terdapat bilik khas tempat kanak-kanak berkeperluan khas boleh berehat dan menjauhkan diri dari persekitaran yang bising.

“Kanak-kanak berkeperluan khas kadangkala berasa tidak selesa.

“Jadi mereka boleh masuk bilik itu untuk bertenang bersama ibu bapa atau guru mereka.

“Apabila mereka rasa bersedia, mereka boleh menyertai pelajar yang lain.

“Jadi kami memastikan langkah seperti ini disediakan agar kami boleh menampung kanak-kanak daripada pelbagai keupayaan,” jelas Cik Asmah.

Selain kanak-kanak berkeperluan khas, CMSG juga bekerjasama dengan pertubuhan seperti Yayasan Mendaki dan Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) untuk memastikan penerima manfaat mereka berpeluang mengunjungi muzium itu.

Antara pameran yang sedang berlangsung di Aras 2 CMSG ialah, Into the Hawkerverse, yang membawa pengunjung meneroka budaya penjaja di Singapura.

Di sana, pengunjung berpeluang mengasah bakat seni mereka dengan mencipta semula hidangan kegemaran di ruang,‘PLAY + MAKE’, yang akan berlangsung hingga Mac 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg