Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muzium Louvre di Paris ditutup 4 jam akibat mogok pekerja

Jun 17, 2025 | 5:23 PM
Louvre,
Muzium Louvre ditutup sementara pada 16 Jun akibat ‘gerakan sosial’ yang dimulakan kakitangannya. Menurut seorang jurucakap, pekerja muzium itu keletihan dengan jumlah pengunjung yang terlalu ramai dan keadaan pekerjaan yang teruk. - Foto REUTERS

PARIS: Muzium Louvre yang merupakan antara daya tarikan pelancong di Paris ditutup kepada ramai selama empat jam pada pagi 16 Jun susulan mogok pekerja.

Disifatkan sebagai ‘gerakan sosial’, kakitangan muzium dikatakan terlalu letih dengan jumlah pengunjung yang terus bertali arus dan keadaan pekerjaan yang kian teruk.

Jurucakap kesatuan sekerja CGT-Culture yang mewakili para pekerja Louvre, Encik Christian Galani, berkata:

“Kami tidak merancang untuk mogok, tetapi para pekerja sudah terlalu letih, dan tidak mampu bertahan lagi dengan keadaan kerja yang semakin teruk.”

Menurut Encik Galani, selepas mesyuarat bulanan mereka, kakitangan memutuskan mengadakan mogok spontan iaitu pemberhentian kerja tanpa kelulusan rasmi pihak kesatuan.

Jurucakap muzium pula menegaskan bahawa tindakan kakitangan itu bukanlah satu mogok rasmi, tetapi satu “gerakan sosial” yang menyebabkan Louvre – yang menempatkan karya seni terkenal dunia seperti, ‘Mona Lisa’ – ditutup selama kira-kira empat jam.

Menurut undang-undang Perancis, mogok rasmi perlu diumumkan terlebih dahulu.

Pada hari tersebut, tatkala ramai pengunjung beratur panjang untuk memasukinya, para pekerja mengadakan mesyuarat di dalamnya bagi membincangkan isu seperti keadaan tugas dan pengurusan bagi menangani kesesakan pengunjung.

Menurut Encik Galani, dalam tempoh 15 tahun lalu, kira-kira 200 jawatan telah hilang di Louvre.

Ini meskipun Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berjanji menstruktur semula muzium itu pada Januari 2025, namun, “tiada apa-apa yang berubah” setakat ini, dan rata-rata pekerja kini berada dalam keadaan tertekan.

“Terlalu ramai pelawat, dan keadaan galeri sangat uzur. Ia amat sukar bagi para pekerja,” katanya.

Muzium Louvre dibuka semula pada 2.30 petang (8.30 malam waktu Singapura), kata jurucakap tersebut.

Selama bertahun-tahun, Louvre menghadapi cabaran besar dalam menangani kesesakan, terutama apabila banyak galeri dipenuhi kumpulan pelancong.

Pada awal 2023, pihak pengurusan muzium mengumumkan had kemasukan harian dikurangkan kira-kira satu pertiga kepada 30,000 pengunjung.

Sebelum pandemik Covid-19, Louvre boleh menerima sehingga 45,000 pengunjung sehari.

Menjelang akhir 2023, muzium itu turut menaikkan harga tiket asas daripada 17 euro ($25) kepada 22 euro untuk menampung kenaikan kos tenaga dan menyokong program kemasukan percuma untuk penduduk tempatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg