Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan pemandu kereta sewa privet lndonesia anjur protes

May 20, 2025 | 11:48 AM
Ribuan pemandu kereta sewa privet membanjiri kawasan Patung Kuda di Jakarta pada 20 Mei dalam satu protes besar-besaran menyuarakan kemarahan terhadap sistem upah dan syarat kerja yang dianggap menindas. 
Ribuan pemandu kereta sewa privet membanjiri kawasan Patung Kuda di Jakarta pada 20 Mei dalam satu protes besar-besaran menyuarakan kemarahan terhadap sistem upah dan syarat kerja yang dianggap menindas.  - Foto SUARA.COM

JAKARTA: Ribuan pemandu perkhidmatan kereta sea privet di seluruh Indonesia mengadakan protes besar-besaran pada 20 Mei.

Tindakan ini bertujuan menuntut gaji lebih adil, syarat kerja lebih saksama serta perlindungan undang-undang bagi pekerja gig seperti mereka.

Protes yang dianjurkan oleh Syarikat Pekerja Angkutan Indonesia (SPAI) ini melibatkan demonstrasi secara fizikal di Jakarta serta aksi mogok dalam talian selama 24 jam, di mana pemandu akan mematikan aplikasi mereka dan berhenti menerima tempahan.

Protes bermula pada waktu tengah hari itu menjejas lalu lintas secara besar-besaran di pusat bandar Jakarta.

Tumpuan perhimpunan adalah di sekitar Kementerian Perhubungan, Istana Presiden dan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI).

Pemandu dari bandar lain seperti Surabaya, Bandung, Medan, Makassar dan Palembang turut menyertai protes ini secara serentak di lokasi masing-masing.

Ketua Umum Garda Indonesia, Encik Igun Wicaksono, mengesahkan bahawa ribuan pemandu dari pelbagai daerah termasuk Jawa Timur, Jawa Tengah, Yogyakarta, Cirebon, Bandung, dan Palembang turut serta dalam demonstrasi dengan protes serentak juga akan berlangsung di bandar lain.

Pengerusi SPAI, Cik Lily Pujianti berkata, tindakan ini menyasarkan bukan sahaja pemerintah, malah syarikat besar seperti Grab, Gojek (GoTo), Maxim, ShopeeFood dan inDrive.

“Pemandu hanya memperoleh antara 50,000 rupiah hingga 100,000 rupiah ($3.92 hingga $7.85) sehari, manakala platform mengambil sehingga 70 peratus daripada tambang jauh melebihi had 20 peratus yang ditetapkan oleh pemerintah” katanya.

Cik Lily turut memetik contoh penghantaran makanan yang mengenakan caj 18,000 rupiah kepada pelanggan, namun pemandu hanya menerima 5,200 rupiah.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap nasib pemandu wanita yang terpaksa bekerja 12 hingga 16 jam sehari tanpa cuti berbayar untuk tempoh haid atau bersalin.

Untuk layak menerima insentif seperti program “Jawara” oleh Grab, pemandu perlu berada dalam talian sekurang-kurangnya 250 jam sebulan secara purata lebih lapan jam setiap hari.

Antara tuntutan utama pemandu termasuklah penghapusan sistem algoritma yang dianggap berat sebelah seperti GrabBike Hemat, sistem “Aceng” oleh Gojek dan model hab ShopeeFood yang menurut mereka membahagikan tugasan secara tidak adil.

Mereka juga menuntut supaya akaun tidak dinyahaktifkan secara sewenang-wenangnya, pertikaian dirujuk kepada kesatuan, serta akses kepada program keselamatan sosial negara seperti BPJS Kesihatan dan BPJS Ketenagakerjaan.

Pemandu juga mendesak agar Rang Undang-Undang Perlindungan Pemandu Daring diluluskan segera bagi mewujudkan kerangka undang-undang untuk melindungi pekerja dalam ekonomi gig. SPAI menyifatkan hubungan antara pemandu dan syarikat sebagai satu bentuk eksploitasi kerana tidak menjamin hak asas pekerja.

Sebagai maklum balas kepada tekanan yang meningkat, Menteri Perhubungan Encik Dudy Purwagandhi pada 19 Mei telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat kereta sewa privet utama.

“Kita perlu mendengar suara sektor ini dan mencari penyelesaian adil yang melibatkan semua pihak,” ujar beliau.

Syarikat seperti Gojek, Grab dan Maxim menafikan dakwaan potongan komisen yang melebihi kadar yang dibenarkan.

Presiden Gojek Indonesia, Cik Catherine Hindra Sutjahyo, berkata: “Kami menggunakan formula 80:20 yang menepati peraturan iaitu 80 peratus untuk pemandu, dan 20 peratus kepada Gojek termasuk pembangunan teknologi.”

Beliau turut menjelaskan bahawa potongan 20 peratus digunakan untuk promosi pelanggan dan sekiranya dikurangkan, jumlah tempahan mungkin menurun dan menjejaskan pendapatan pemandu.

Ketua Hal Ehwal Awam Grab Indonesia, Cik Tirza R. Munusamy, menyatakan potongan 20 peratus digunakan bukan sahaja untuk pembangunan teknologi, malah untuk perlindungan keselamatan dan program sokongan harian pemandu seperti pembaikan tayar dan penukaran minyak.

“Ia membantu meringankan beban kos harian pemandu,” katanya.

Pakar Perhubungan Maxim Indonesia, Encik Muhammad Rafi Assagaf, berkata bahawa komisen 20 peratus adalah wajar bagi memastikan inovasi berterusan demi kebajikan pemandu.

“Memotong komisen kepada 10 peratus akan menggugat ekosistem pengangkutan dalam talian,” ujarnya.

“Selagi struktur upah dan perlindungan tidak berubah, kami akan terus bersuara. Ini bukan sekadar soal tambang, ini soal maruah dan kelangsungan hidup pemandu,” ujar Cik Lily. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg