Pemandu yang melarikan diri dari tempat kejadian kemalangan di Tampines yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal dan isterinya yang mengandung telah didakwa pada 31 Oktober.

Muhammad Zulfiqar Abdul Aziz, 30 tahun, dihadapkan dengan sembilan tuduhan, antaranya memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian; memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan; memandu ketika hilang kelayakan; dan gagal berhenti selepas kemalangan.

Dia juga didakwa gagal memberikan bantuan selepas kemalangan; menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans; menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran; menggunakan kenderaan tanpa lesen; dan mempamerkan plat nombor palsu.

Kemalangan pada kira-kira 10.35 malam pada 29 Oktober itu melibatkan sebuah Audi biru yang merempuh pembahagi jalan dan melanggar sebuah motosikal serta sebuah kereta lain di Tampines Avenue 12.

Penunggang motosikal itu dan isterinya yang membonceng, kedua-duanya berusia 24 tahun, meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

Pada 31 Oktober, Zulfiqar hadir di mahkamah menerusi pautan video. Dia menundukkan pandangan ketika tuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Melayu.

Dia memakai baju polo putih, dengan rambut yang mempunyai sorotan warna keemasan, janggut di dagu, serta cuping telinga yang diregangkan. Lengan kirinya pula kelihatan dipenuhi dengan tatu.

Mangsa-mangsa dikebumikan di Pusara Aman, Choa Chu Kang pada 30 Oktober. 

Ahli keluarga memberitahu The Straits Times (ST) semasa pengebumian bahawa pasangan itu sedang menantikan anak kedua. 

Mereka meninggalkan seorang anak lelaki berusia enam tahun. Perintah sekatan dikeluarkan ke atas identiti mangsa kerana anak lelaki mereka. Sorang pemandu kereta lain yang berusia 25 tahun turut dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Polis menahan Zulfiqar dan wanita berusia 29 tahun yang bersamanya pada 30 Oktober di sekitar West Coast Road.

Wanita itu belum didakwa dan siasatan masih berjalan.

Apabila pihak pendakwa menggesa mahkamah menolak jaminan untuk Zulfiqar kerana dia berisiko melarikan diri, dia bertanya mengapa begitu, katanya ini hanya sebutan pertama kesnya di mahkamah dan dia tidak melarikan diri.

Pihak pendakwa berkata dia melarikan diri dari tempat kejadian, dan dia tidak diberikan jaminan selepas hakim mendapati dia berisiko melarikan diri.

Kesnya akan didengar semula pada 27 November.

Mereka yang disabit kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjarakan sehingga lapan tahun, manakala mereka yang disabit kesalahan menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan didenda $20,000.

Terdapat 40 kes melibatkan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran pada 2022, dan 39 kes pada 2023. Angka itu melonjak kepada 75 kes pada 2024 dan 245 kes pada 2025. 

Dalam lima bulan pertama 2026, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyiasat 122 kes.

Polis berkata menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran dan memandu ketika tidak layak adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membahayakan pengguna jalan raya lain.