Sekitar 200 orang hadir di Pusara Aman, Choa Chu Kang, pada 30 Oktober bagi memberikan penghormatan terakhir kepada sepasang suami isteri muda yang terkorban dalam kemalangan maut di Tampines.

Pasangan tersebut dikenal pasti sebagai penunggang motosikal, Allahyarham Mohd Emirul Danial Mohd Zulkifly, dan isterinya yang sedang hamil, Allahyarhamha Nursyarafana Norazman. Kedua-duanya berusia 24 tahun.

Nahas yang berlaku pada malam 29 Oktober itu melibatkan beberapa buah kenderaan di persimpangan jalan di Tampines.

Pihak polis sedang memburu dua lagi individu yang melarikan diri dari lokasi nahas.

Adik kepada Allahyarhamha Nursyarafana, yang hanya dikenali sebagai Cik Syauqina, mengesahkan bahawa kakaknya meninggalkan seorang anak lelaki berusia enam tahun dan beliau juga hamil sekitar sebulan.

Cik Syauqina juga berkongsi dua klip video kepada Berita Harian (BH) yang memaparkan usaha keluarga mengumpulkan bukti selepas nahas berlaku.

Berdasarkan satu klip video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dikongsi Cik Syauqina kepada BH, sebuah kereta dari arah bertentangan dilihat hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Kenderaan berkenaan kemudiannya merempuh motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri tersebut, sekali gus mencetuskan kemalangan berantai yang melibatkan beberapa buah kenderaan lain di laluan bertentangan.

“Ini sahaja bukti yang kami ada...” tulis Cik Syauqina.

Satu lagi video yang dihantar menunjukkan kereta biru yang terbabas ke laluan bertentangan terbalik mengiring dan tersadai di kawasan semak berhampiran laluan pejalan kaki.

“Di sini ada nombor plat kereta biru... Motor abang ipar saya hancur...”, tulisnya lagi.

Seorang saksi, Encik Irshad Ahmed Mohammed Iqbal, 29 tahun, yang berada di tempat kejadian memberitahu BH bahawa jalan raya sesak dan oleh sebab menunggang motosikal, beliau dapat menyelit ke hadapan.

Beliau kemudian mendapati terdapat banyak serpihan kenderaan yang menghalang laluan.

Tanpa berlengah, Encik Irshad, tolong membersihkan laluan agar satu daripada empat laluan itu dapat dilalui kenderaan.

Menurut pengurus itu, impak nahas tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa motosikal tercampak di lokasi berasingan — seorang di laluan pejalan kaki seorang lagi di kawasan rumput berhampiran.

Melihat keadaan mangsa lelaki yang tertiarap di atas rumput dan tidak bernafas, Encik Irshad bersama dua lagi orang awam bertindak pantas membalikkan tubuh mangsa untuk memberikan bantuan awal.

Pada masa yang sama, seorang lagi orang awam bergegas ke blok perumahan berdekatan untuk mengambil peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED).

“Kami baru sahaja hendak memasang alat AED selepas membalikkan badannya, namun pasukan paramedik tiba di lokasi dan segera mengambil alih rawatan kecemasan,“ jelas Encik Irshad, yang mengakui masih terkesan dan trauma dengan insiden tragis yang disaksikannya sendiri itu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti