Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nahas jet F-16: RSAF akan tingkat pemeriksaan pada komponen pesawat

Jun 19, 2024 | 8:03 PM
Giroskop kadar putaran atau pitch rate gyroscope pesawat yang rosak, telah memberikan maklumat salah kepada komputer kawalan penerbangan digital hingga mengakibatkan jet pejuang F-16 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terhempas di Pangkalan Udara Tengah pada 8 Mei lalu.
Giroskop kadar putaran atau pitch rate gyroscope pesawat yang rosak, telah memberikan maklumat salah kepada komputer kawalan penerbangan digital hingga mengakibatkan jet pejuang F-16 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terhempas di Pangkalan Udara Tengah pada 8 Mei lalu. - Foto ST

Komponen F-16 yang menjadi punca pesawat jet F-16 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terhempas pada 8 Mei di Pangkalan Udara Tengah bakal perlu menjalani pemeriksaan penyelenggaraan tambahan bagi memastikan sebarang tanda awal kemerosotan dapat dikesan.

Alat bacaan dalam pesawat yang memberikan isyarat, pitch rate gyroscope, juga akan diganti lebih awal, sebelum ia mencapai tahap kemerosotan lanjut, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 19 Jun.

Pitch rate gyroscope adalah komponen dalam pesawat yang menyediakan salah satu isyarat yang diperlukan untuk menghantar data yang betul ke komputer kawalan penerbangan untuk mengawal pesawat.

Mindef berkata dua daripada empat giroskop dalam jet F-16 itu memberi maklumat serupa yang salah kepada komputer kawalan penerbangan digital.

Ini mengakibatkan logik kawalan penerbangan menerima maklumat yang salah sebagai ‘betul’, dan menolak secara berurutan data daripada setiap giroskop yang masih berfungsi sebagai ‘salah’.

Justeru, komputer kawalan penerbangan digital menggerakkan pesawat sebagai tindak balas kepada kesilapan isyarat maklum balas kadar putaran daripada dua giroskop yang rosak, dan menyebabkan jet F-16 tidak dapat dikawal oleh juruterbang.

Siasatan yang diketuai oleh RSAF dan disokong oleh Lockheed Martin dan Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan terjadi selepas juruterbang jet pejuang F-16 mengalami kerosakan sistem kawalan penerbangan semasa pelepasan, yang menyebabkannya tidak dapat mengawal pesawat dengan selamat.

Selepas menentukan dengan betul ia tidak selamat untuk menerbangkan pesawat lebih jauh, juruterbang bertindak balas mengikut prosedur kecemasan dan beliau berjaya melecitkan dirinya dari jet itu semasa pesawat masih berada di Pangkalan Udara Tengah.

Beliau kemudian dipindahkan oleh helikopter RSAF RESCUE10 ke Hospital Besar Singapura, selaras dengan tatacara pemindahan perubatan.

Siasatan turut menyimpulkan bahawa pesawat F-16 itu dikekalkan mengikut protokol yang ditetapkan dan RSAF telah mematuhi keperluan pemeriksaan penyelenggaraan.

Giroskop RSAF F-16 adalah sama seperti yang digunakan oleh pengendali F-16 di seluruh dunia.

Lockheed Martin tidak menetapkan sebarang pencegahan dalam penyelenggaraan giroskop namun ia perlu diganti apabila kerosakan dikesan.

Menurut kenyataan Mindef, ujian sedia ada semasa prapenerbangan F-16 tidak mengesan sebarang kerosakan pada fungsi giroskop pesawat sebelum berlepas.

Ia dinilai bahawa dua giroskop kadar putar itu telah rosak akibat haus dan lusuh, dan gagal berfungsi semasa pelepasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg