Sebuah kenderaan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan privet pada 19 Disember lalu.
Tiga orang, termasuk seorang banduan dan dua pegawai pengiring, mengalami kecederaan ringan.
Kemalangan itu berlaku di Ekspreswe Central (CTE) menuju ke Ekspreswe Seletar (SLE) selepas susur keluar Jalan Bahagia, kata SPS dalam satu kenyataan di Facebook pada 20 Disember.
Menurut kenyataan itu, kenderaan SPS tersebut dalam perjalanan pulang dari Hospital Tan Tock Seng (TTSH) ke Kompleks Selarang Park setelah banduan berkenaan selesai menjalani janji temu perubatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPS pada 20 Disember, kemalangan itu berpunca daripada perlanggaran berantai yang melibatkan tiga buah kenderaan.
“Kenderaan SPS itu dilanggar dari belakang oleh salah sebuah kenderaan privet itu dan melanggar sebuah kenderaan privet lain di hadapannya,” menurut kenyataan tersebut.
Menyusuli kejadian itu, pihak SPS segera menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) bagi mendapatkan bantuan segera di tempat kejadian.
Dua individu di dalam kenderaan SPS itu tidak dapat keluar dengan sendiri akibat impak perlanggaran tersebut.
“Banduan dan salah seorang pegawai pengiring yang tersepit di bahagian belakang kenderaan SPS itu diselamatkan SCDF menggunakan peralatan penyelamat hidraulik,” jelas kenyataan itu lagi.
Selepas berjaya dikeluarkan, banduan berkenaan diperiksa oleh paramedik SCDF dan disahkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Beliau kemudian dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) oleh pihak SPS untuk rawatan lanjut dan telah dibenarkan pulang pada hari yang sama.
Dua pegawai pengiring yang turut berada dalam kenderaan itu juga dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kemudian diberi rawatan perubatan.
SPS kini sedang membantu pihak polis dalam siasatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg