Topik diikuti
Pergi ke BHkuNahas maut di Tampines: Pemandu hadapi 9 tuduhan, termasuk gagal berhenti selepas kemalangan
Nahas maut di Tampines: Pemandu hadapi 9 tuduhan, termasuk gagal berhenti selepas kemalangan
Dakwaan lain termasuk pandu secara bahaya sehingga sebabkan kematian; pandu ketika dikenakan larangan memandu; dan gunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans.
Nahas maut di Tampines: Pemandu hadapi 9 tuduhan, termasuk gagal berhenti selepas kemalangan
Pemandu yang melarikan diri dari tempat kejadian kemalangan di Tampines yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal dan isterinya, telah didakwa pada 31 Oktober.
Muhammad Zulfiqar Abdul Aziz, 30 tahun, dihadapkan dengan sembilan tuduhan, antaranya memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian; memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan; memandu ketika dikenakan larangan memandu, dan gagal berhenti selepas nahas.
Dia juga didakwa gagal memberikan bantuan selepas kemalangan; menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans; menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran; menggunakan kenderaan tanpa lesen; dan mempamerkan plat nombor palsu.
Kemalangan kira-kira 10.35 malam pada 29 Oktober itu melibatkan sebuah Audi biru yang merempuh pembahagi jalan dan melanggar sebuah motosikal serta sebuah kereta lain di Tampines Avenue 12.
Penunggang motosikal itu dan isterinya yang membonceng, kedua-duanya berusia 24 tahun, meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Pada 31 Oktober, Zulfiqar hadir di mahkamah menerusi pautan video.
Dia menundukkan pandangan ketika tuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Melayu.
Dia memakai baju polo putih, dengan rambut yang mempunyai sorotan warna keemasan, janggut di dagu, serta cuping telinga yang diregangkan. Lengan kirinya pula kelihatan dipenuhi dengan tatu.
Kededua mangsa telah dikebumikan di Pusara Aman, Choa Chu Kang pada 30 Oktober.
Mereka meninggalkan seorang anak lelaki berusia enam tahun.
Perintah larangan mendedahkan identiti mangsa dikeluarkan bagi melindungi anak lelaki mereka.
Seorang pemandu kereta lain yang berusia 25 tahun turut dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.
Polis menahan Zulfiqar dan wanita berusia 29 tahun yang bersamanya pada 30 Oktober di sekitar West Coast Road.
Wanita itu belum didakwa dan siasatan masih berjalan.
Apabila pihak pendakwa menggesa mahkamah menolak ikat jamin untuk Zulfiqar kerana dia berisiko melarikan diri, dia bertanya kenapa dengan berkata ini kali pertama dia didakwa di mahkamah dan dia tidak akan melarikan diri.
Pihak pendakwa berkata dia telah melarikan diri dari tempat kejadian, dan dia tidak diberikan ikat jamin selepas hakim mendapati Zulfiqar berisiko melarikan diri.
Kesnya akan didengar semula pada 27 November.
Mereka yang disabit kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian boleh dipenjarakan hingga lapan tahun, manakala mereka yang disabit kesalahan menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda $20,000.
Terdapat 40 kes melibatkan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran pada 2022, dan 39 kes pada 2023.
Angka itu melonjak kepada 75 kes pada 2024 dan 245 kes pada 2025.
Dalam lima bulan pertama 2026, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyiasat 122 kes.
Polis berkata menggunakan kenderaan yang telah dibatalkan pendaftaran dan memandu ketika dikenakan larangan memandu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membahayakan pengguna jalan raya lain.