Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nasi lemak, roti canai, teh tarik bakal masuk senarai warisan Unesco? 

Feb 17, 2024 | 5:53 PM
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar (tiga dari kanan) sempat goreng roti canai resipi istimewa yang dibuat secara ‘live’ untuk dinikmati tetamu pada acara sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Malaysia pada 17 Februari.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar (tiga dari kanan) sempat goreng roti canai resipi istimewa yang dibuat secara ‘live’ untuk dinikmati tetamu pada acara sambutan Tahun Baru Cina di Rumah Malaysia pada 17 Februari. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Malaysia telah mengemukakan pencalonan agar Budaya Sarapan Malaysia dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Jika diluluskan, hidangan tidak asing lagi di negara seberang Tambak seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik akan diiktiraf dalam senarai tersebut.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata ketiga-tiga makanan dan minuman itu, meskipun berasal daripada kumpulan etnik tertentu, telah menjadi begitu sebati dalam masyarakat pelbagai kaum Malaysia.

“Jadi, ia telah diterima sebagai semacam lumrah hidup bagi ramai rakyat Malaysia.

“Orang di Malaysia sudah lama menikmati budaya sarapan pagi ini, tidak kira orang Melayu, Cina atau India.

“Kami memilih tiga makanan dan minuman ini – nasi lemak, roti canai dan teh tarik – kerana ia boleh didapati di mana-mana sahaja anda pergi di Malaysia,” ujar beliau.

Dr Azfar ditemui di Rumah Malaysia di Gallop Park pada 17 Februari di mana beliau menjadi tuan rumah kepada sekitar 150 tetamu yang hadir bagi sambutan sempena Tahun Baru Cina.

Ketiga-tiga hidangan istimewa itu turut dihidangkan pada acara tersebut yang turut dihadiri warga Malaysia yang bekerja di Singapura, diplomat dari pelbagai negara serta beberapa peniaga dan tokoh terkenal Singapura.

Mereka sempat melakukan ‘lo hei’ sebelum menikmati beberapa juadah Malaysia.

Malah, lebih istimewa lagi, tetamu telah dapat merasakan air tangan isteri Dr Azfar, Datin Che Norhayati Soib, yang telah memasak sendiri nasi lemak dan rendang daging yang dihidangkan bersamanya, serta membancuh teh tarik.

Roti canai resipi istimewa warga Malaysia dari Kajang, Encik Azshah, juga dibuat secara ‘live’ untuk dinikmati tetamu.

Dr Azfar berkata keputusan sama ada budaya sarapan Malaysia akan diterima ke dalam senarai Unesco itu dijangka ditentukan setelah perbincangan diadakan di Paraguay pada November 2024.

Nasi lemak, roti canai dan teh tarik telah diberi pengiktirafan negara sebagai Makanan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) di Malaysia.

Ini demi mengiktiraf kepentingan makanan sarapan pagi tersebut kepada sejarah dan perkembangan sosio budaya masyarakat di negara itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg