Nasihat bekas juara dunia kepada raja badminton yang baharu dinobatkan: Nikmati saat ini dan tuai ganjaran yang wajar diperoleh.

Itulah kata-kata ‘hikmah’ daripada pemain badminton nombor satu Singapura, Loh Kean Yew, kepada bintang muda Perancis, Alex Lanier.

Pada 23 Ogos, pada usia 21 tahun, Lanier mencipta sejarah apabila tampil juara dunia perseorangan lelaki pertama negaranya – sama seperti bagaimana Loh membuka jalan untuk badminton Singapura ketika beliau melakukan perkara yang sama, menjadi juara dunia, pada 2021 pada usia 24 tahun.

Selepas gelaran bersejarah itu, Loh dibanjiri permintaan media dan tawaran komersial, manakala kehidupan peribadi dan aksi beliau di gelanggang turut mendapat lebih banyak perhatian.

Walaupun Lanier bergurau bahawa beliau masih boleh berjalan di Perancis “tanpa sesiapa pun mengenalinya”, difahamkan jadual beliau kini lebih sibuk daripada biasa berikutan kemenangan 21-11, 21-11 ke atas pemain Jepun, Kodai Naraoka, dalam final kejohanan dunia di New Delhi.

Selepas mengucapkan tahniah kepada Lanier yang berada di kedudukan ke-10, Loh, 29 tahun, memberitahu The Straits Times (ST): “Saya bukan orang yang terbaik untuk memberi nasihat kepadanya tentang cara menangani tekanan dan jangkaan selepas menjadi juara dunia, tetapi jika ia bermakna sesuatu, saya akan katakan padanya untuk nikmati saat ini.

“Setiap orang ada laluan berbeza. Badminton lebih popular di kebanyakan bahagian Asia berbanding Perancis, oleh itu mungkin tidak banyak jangkaan luaran berbanding jangkaan daripada dirinya sendiri. Namun, saya berharap akan ada lebih banyak sokongan kewangan untuknya yang selayaknya berdasarkan pencapaiannya.”

Persahabatan antara Loh yang berada di kedudukan dunia ke-13 dengan pesaing yang lapan tahun lebih muda darinya itu bermula pada 2021, ketika beliau ke Perancis untuk berlatih selama tiga minggu.

Beliau mengimbas kembali bagaimana susuk badan fizikal Lanier “sangat berotot” walaupun ketika itu baru berusia 16 tahun, dan berkata: “Beliau seorang budak yang kuat dan sukar dikalahkan walaupun pada usia itu.

“Terdapat jurang usia yang agak besar antara kami dan saya lebih banyak bercakap dengan Arnaud Merkle ketika itu, tetapi saya dan Alex semakin rapat sepanjang tahun kerana kami sering bergurau.”

Tidak lama kemudian, Lanier mula meningkat naik daripada kejohanan peringkat lebih rendah dan mula memberi impak dalam Jelajah Dunia Persekutuan Sedunia Badminton (BWF) apabila beliau menjuarai Terbuka Canada Super 100 pada 2022.

Beliau kemudian menjadi tumpuan apabila menjuarai Terbuka Jepun Super 750 pada 2024 ketika berusia 19 tahun, menewaskan pemain Malaysia, Lee Zii Jia; pemain Indonesia, Chico Wardoyo; pemain Jepun, Kenta Nishimoto; pemain China, Shi Yuqi; dan pemain Taipei Cina, Chou Tien-chen dalam perjalanan ke gelaran itu.

Anak kepada sepasang atlet kapal layar profesional itu terus berkembang mengikut caranya sendiri.

Dengan bimbingan jurulatih Lithuania, Kestutis Navickas, dan pakar beregu campuran dari Iceland, Tinna Ludvigsen, beliau dinobatkan sebagai juara Eropah pada 2025. 

Loh berkata: “Anda boleh lihat beliau bakal menjadi pemain hebat. Beliau kuat dalam serangan dan pertahanan, serta mempunyai beberapa pukulan mengelirukan dalam simpanannya.

“Dia juga sangat fokus terhadap permainan dan persediaan dirinya sendiri.”